Anda di sini

Ekonomi Malaysia boleh pulih lebih cepat berbanding Eropah, AS meskipun berdepan banyak cabaran

Advertisement
 


KUCHING: Ekonomi Malaysia diyakini boleh lebih cepat berbanding ekonomi negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS).


Penganalisis Ekonomi, Dr Madeline Berma (gambar) berkata Forum Ekonomi Dunia meramal ekonomi Eropah dan AS hanya akan pulih dalam masa tiga tahun ekoran pandemik COVID-19 melanda dunia ketika ini.


"Malaysia boleh pulih dalam masa kurang daripada tiga tahun walaupun akan berdepan banyak cabaran untuk memulihkan ekonominya pasca COVID-19.


"Ini kerana Malaysia antara negara yang telah memperkenalkan langkah-langkah menangani wabak COVID-19 dalam masa pantas untuk melandaikan keluk wabak berkenaan," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.


Felo Akademi Sains Malaysia itu menambah, dari segi ekonomi pula, kerajaan telah memperkenalkan tiga pakej Rangsangan Ekonomi untuk meringankan beban rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi negara.


Bagaimanapun, ujarnya Malaysia terpaksa berdepan banyak cabaran untuk memulihkan ekonominya.


"Ekonomi dunia, termasuk rakan dagang Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan ini akan meninggalkan kesan terhadap perdagangan antarabangsa juga pelaburan asing Malaysia," katanya.


Madeline yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sarawak berkata pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan oleh kerajaan hanyalah penyelesaian jangka pendek.


Kerajaan katanya perlu membiayai defisit fiskal yang semakin luas serta menghadapi masalah beban hutang masih tinggi.


Sehubungan itu katanya, rakyat mesti belajar daripada pengalaman yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kehidupan rakyat Malaysia, iaitu berdepan dwipandemik iaitu wabak ekonomi dan kesihatan.


"Apa yang apa yang pasti keadaan ini menuntut perubahan minda dan gaya melaksanakan aktiviti ekonimi. Inilah masa untuk mencari sumber baharu sama ada secara dalam talian atau 'face to face' (bersemuka) mahupun perniagaan atau aktiviti ekonomi biasa.


"Kewangan individu tidak boleh berubah hanya dengan bantuan kerajaan melalui beberapa siri pakej rangsangan ekonomi diumumkan sebelum ini," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement