Anda di sini

AirAsia akan sambung semula penerbangan domestik mulai 29 April

Advertisement

KUCHING: AirAsia akan menyambung semula penerbangan domestik dijadualkan, bermula pada 29 April ini di Malaysia diikuti Thailand (1 Mei), Filipina (1 Mei), India (4 Mei) dan Indonesia (7 Mei), tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Menurut kenyataannya semalam, penyambungan semula perkhidmatan pihaknya adalah hanya untuk beberapa laluan domestik terpilih, manakala penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat kemudian.

“Pihak kami akan memulakan perkhidmatan penerbangan domestik terlebih dahulu dan kemudian bagi penerbangan antarabangsa apabila keadaan sudah bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik oleh kerajaan.

“Penerbangan yang tersedia boleh ditempah melalui laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih sekarang. Para tetamu juga boleh menggunakan akaun kredit mereka untuk menebus penerbangan ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai laluan-laluan lain dan jadual penerbangan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Sementara itu, Presiden (Syarikat Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata pihaknya berharap penyambungan semula penerbangan dan perkhidmatan untuk laluan domestik itu akan memberi keselesaan kepada para tetamu.

“Kami telah mengemas kini prosedur pengendalian tetamu secara menyeluruh daripada perlepasan sehingga dalam penerbangan berikutan pandemik COVID-19.

“Pihak kami juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan bahawa semua langkah pencegahan yang disarankan dilakukan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua,” ujarnya.

AirAsia jelasnya amat mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya.

Justeru, pihaknya telah bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan.

Kami juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan, tambahnya lagi.

Para tetamu dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah perlindungan yang disyorkan secara universal termasuk memakai topeng muka, penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri.

Semua pesawat yang dilengkapi dengan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan.

Untuk sebarang pertanyaan, para tetamu boleh menghubungi AirAsia Virtual Allstar (AVA) atau berbual secara langsung dengan ejen Khidmat Pelanggan kami di airasia.com atau support.airasia.com untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Para tetamu turut dinasihatkan untuk menyemak Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan oleh AirAsia di airasia.com dan platform media sosial.

Para tetamu juga digalakkan untuk menyemak status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus untuk maklumat terkini secara langsung berikutan keadaan yang sentiasa berubah pada masa ini.

“Tertakluk kepada kelulusan kerajaan, penerbangan dengan Kod I5 hanya beroperasi untuk laluan domestik di India, Penerbangan dengan Kod D7 dan XJ hanya beroperasi untuk laluan antarabangsa,” ujarnya semalam.

Advertisement