Anda di sini

Warga Pendidikan Tawau terlibat MQSS diarah jalani ujian COVID-19

Advertisement
DR.G.NAVINDRAN
DR.G.NAVINDRAN

TAWAU : Semua Guru dan Kakitangan Pendidikan Tawau yang terlibat di dalam Majlis Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) pada 10 hingga 11 Mac lalu diarah untuk menjalani ujian pengesahan COVID-19.

Pegawai Kesihatan Kawasan, Dr G Navindran berkata arahan itu dibuat berikutan terdapat seorang guru yang terlibat mengendalikan majlis itu disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Tawau.

"Pihak kita sudah mengeluarkan surat pada 17 April kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tawau untuk mengarahkan semua kakitangannya yang terlibat dalam majlis tersebut untuk segera menjalani ujian pengesahan COVID-19," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Beliau berkata, seramai 76 orang yang dikesan terlibat dalam majlis tersebut dikehendaki membuat saringan tersebut bermula hari ini di Klinik Kesihatan Tawau.

 Surat arahan kepada warga pendidikan Tawau terlibat MQSS supaya menjalani ujian pengesahan COVID-19.
NOTIS : Surat arahan kepada warga pendidikan Tawau terlibat MQSS supaya menjalani ujian pengesahan COVID-19.

"Mereka juga akan dikuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), " katanya.

Pegawai Pendidikan Tawau, Zamri Pehakan ketika dihubungi berkata semua guru dan kakitangannya yang terlibat dalam majlis tersebut sudah dimaklumkan melalui Pengetua dan Guru Besar  masing-masing.

"Pejabat Pendidikan Tawau sudah menghantar surat arahan tersebut kepada semua sekolah yang terlibat seperti yang diarahkan oleh pihak Klinik Kesihatan Tawau," katanya.

Ditanya mengenai status pelajar yang menyertai majlis tersebut, beliau berkata setakat ini hanya guru dan kakitangan pendidikan Tawau yang terlibat sahaja diarahkan oleh pihak Klinik Kesihatan Tawau.

"Kita hanya mendapat arahan supaya memaklumkan semua guru dan kakitangan yang terlibat sahaja untuk menjalani saringan tersebut, namun,  pihak pendidikan Tawau akan sentiasa mengikuti setiap pandangan serta nasihat Klinik Kesihatan Tawau dari semasa ke semasa," katanya.

  • oleh
  • Advertisement