Anda di sini

Remaja lelaki 'hantar' mayat kekasih didakwa langgar PKP 

Advertisement
 
Pelajar tingkatan lima yang 'menghantar' pulang mayat kekasihnya selepas terlibat dengan kemalangan motosikal Ahad lepas, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan melanggar PKP. - Gambar Bernama
Pelajar tingkatan lima yang 'menghantar' pulang mayat kekasihnya selepas terlibat dengan kemalangan motosikal Ahad lepas, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan melanggar PKP. - Gambar Bernama

ROMPIN: Pelajar tingkatan lima yang 'menghantar' pulang mayat kekasihnya selepas terlibat dengan kemalangan motosikal Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh yang beralamat di Felda Keratong 5 di sini, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Remaja lelaki itu, didakwa melanggar PKP pada 3 pagi, 12 April lepas dengan bergerak dari rumahnya ke Kilometer 127 Jalan Kuantan-Seremban di sini, iaitu lokasi dia terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan kekasihnya maut. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) peraturan sama iaitu denda  tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhalimatun Saadiah Abdullah.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh tetapi peguam Ahmad Deniel Roslan yang mewakili pelajar itu merayu mahkamah membenarkan anak guamnya yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik itu dijamin.

"Saya mohon mahkamah mempertimbangkan faktor usia tertuduh yang muda dan masih bersekolah, selain kesalahan yang dihadapi anak guam saya juga merupakan kesalahan boleh dijamin. 

Malah, ahli keluarga tertuduh memberi aku janji akan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah pada sebutan akan datang dan tertuduh sendiri bersedia dikenakan syarat tambahan, jika jaminan dibenarkan," katanya. 

Azizah membenarkan jaminan RM300 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sementara menunggu sebutan semula kes pada 11 Jun bagi mendapatkan laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Abang tertuduh menjelaskan jaminan yang diberikan. 

Pada Ahad lalu, media melaporkan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di garaj rumah keluarganya di Felda Keratong 10 di sini, dipercayai ditinggalkan oleh kekasihnya yang panik selepas mereka terlibat kemalangan. 

Kemalangan difahamkan berlaku pada 3.30 pagi berhampiran kilang kelapa sawit yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa, dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggangi mereka terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan. - Bernama 

Advertisement