Anda di sini

PNB sumbang lebih RM23 juta bantu Malaysia lawan COVID-19

Advertisement

KUALA LUMPUR: Berikutan pandemik COVID-19 yang berterusan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan usahanya membantu meringankan beban rakyat yang terkesan melalui pelbagai sumbangan dan bantuan sokongan untuk COVID-19 sejak menularnya wabak tersebut, yang berjumlah lebih RM23 juta.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, pada ketika di mana kita perlu berganding bahu bagi membendung penyebaran wabak COVID-19, PNB beriltizam untuk menghulurkan bantuan dengan apa acara sekalipun.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua barisan hadapan perubatan memainkan peranan paling kritikal dan PNB berbesar hati dapat memberi sokongan dalam bentuk peralatan perubatan penting dan bantuan kewangan.”

“Untuk terus membantu usaha pemulihan dan mengurangkan penularan COVID-19, PNB juga telah menyumbang kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN).”

“Bantuan kewangan juga telah disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pusat tersebut serta kepada institusi zakat bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan untuk menempuh kesulitan yang tidak pernah terjadi ini,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, bagi meringankan beban perniagaan yang terjejas akibat kekangan kewangan sepanjang tempoh ini, PNB akan memberikan pengecualian pembayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penyewa di hartanah milik PNB.

“Kami berharap agar bantuan ini mampu memberi kesan positif dalam perjuangan menentang pandemik ini,” katanya.

Pada masa sama, PNB turut ingin merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia dan rakan bank komersial bagi syarikat unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Berhad  (ASNB), yang telah memberikan moratorium bagi tempoh enam bulan untuk pinjaman pengguna mulai 1 April 2020.

Inisiatif ini memberikan kelegaan sementara kepada pemegang unit yang telah mengambil pinjaman bagi membiayai pelaburan mereka dalam dana unit amanah Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2.

Selain daripada sumbangan PNB, syarikat-syarikat pelaburan PNB termasuk Maybank, Sime Darby Berhad, Sime Darby Plantation, Sime Darby Property, UMW Holdings Berhad, SP Setia, Sapura Energy, Duopharma Biotech Berhad, MIDF Berhad dan lain-lain juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif. Ini merangkumi bantuan kewangan, kepada pelbagai saluran sumbangan tabung COVID-19 seperti GDRN dan NGO seperti MERCY Malaysia, serta penajaan peralatan dan bekalan perubatan.

  • oleh
  • Advertisement