Anda di sini

Pengakap Sandakan edar 5,500 penutup muka

Advertisement
 Penyerahan face shield kepada Jabatan Pesakit luar Sandakan.
MENYUMBANG: Penyerahan face shield kepada Jabatan Pesakit luar Sandakan.

WIRA tak didendang, itulah ungkapan yang patut diberikan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Bahagian Sandakan, Sandakan Face Shield Charity, dan 3D Printing Malaysian For COVID-19 Community, yang berjaya menyiapkan dan mengedarkan 5,500 unit penutup muka untuk diagihkan kepada wira-wira barisan hadapan.

Bermula daripada usaha murni keluarga yang pernah dipaparkan di Utusan Borneo pada 31 Mac lalu, Barmuli Parudin yang juga  Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Sandakan meneruskan aktiviti membuat PPE di rumah bersama keluarga beliau bagi mengisi masa sepanjang PKP Tahap Kedua.  

Namun pada kali ini, beliau melebarkan kegiatan murni ini bersama Pengakap Bahagian Sandakan sebagai badan yang menyelaras aktiviti beliau. Untuk itu, Barmuli bekerjasama sekali lagi dengan Sandakan Face Shield Charity, dan 3D Printing Malaysian For Covid-19 Community.

Selain itu, beberapa komuniti seperti, Astana Heights Community serta Alumni Maktab Perguruan Sandakan 90-92 turut memberi sokongan dan dorongan. Bantuan juga diperolehi daripada berapa orang rakan dan guru yang menyumbang dari segi kewangan bagi membeli bahan-bahan asas untuk membuat penutup muka berkenaan.

 Steven Tung menyerahkan kepada anggota tentera yang bertugas.
UNTUK ANGGOTA TENTERA: Steven Tung menyerahkan kepada anggota tentera yang bertugas.

Setelah perbincangan bersama anak beliau, Muhd. Izzan Ihtisyam, 26, salah seoarang penggerak utama dalam usaha pembuatan penutup muka itu, Barmuli seterusnya mendapat restu dan sokongan daripada Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Datuk Dr. Awang Zaini Hj. Suntim, yang juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara untuk membuat penutup muka pada skala yang agak besar.

Di samping itu, usaha ini juga mendapat kerjasama dan sokongan yang amat baik daripada kesemua Pesuruhjaya Pengakap dalam Bahagian Sandakan yang terdiri daripada tujuh daerah pentadbiran pengakap iaitu Sandakan, Karamunting, Sibuga, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod. Dengan itu, usaha ini membuahkan hasil dan mencapai matlamatnya.

 Verra Ariati Silalihi menyerahkan kepada Klinik Ibu dan Anak Beluran.
UNTUK KIA: Verra Ariati Silalihi menyerahkan kepada Klinik Ibu dan Anak Beluran.

Ketika dihubungi, Barmuli menyatakan bagi menghormati serta mematuhi larangan pergerakan sepanjang PKP, modus operandi pembuatan penutup muka ini, terpaksa disesuaikan.

Barmuli atau Muhd Izzan akan membeli bahan-bahan asas yang diperlukan, dan mengagihkan bahan berkenaan kepada 26 orang ahli Pengakap Kelana Bahagian Sandakan yang mana akan membuatnya di rumah masing-masing.

Anak-anak beliau di rumah juga turut serta sekali lagi dalam usaha murni ini. Setelah siap, penutup muka dikutip, dikumpul, dibungkus dan diedarkan kepada agensi-agensi yang terlibat seperti Hospital Duchess Of Kent Sandakan, Unit Forensik HDOK, Jabatan Pesakit Luar, Klinik-klinik Kesihatan, Majlis Perbandaran Sandakan, pihak polis dan tentera yang mengawal lalulintas ( di pusat-pusat kawalan pergerakkan kenderaan ), pengawal keselamatan, pekerja pasar raya dan bank serta pihak-pihak lain yang memerlukan.  

Dalam hal yang berkaitan, Barmuli membuat turut mendapat nasihat daripada  Abdul Hani Ag. Durahim selaku Penolong Pesuruhjaya Negeri (Pengurusan Risiko) bagi memastikan proses penyediaan alat pelindung diri berkenaan mematuhi sebaik mungkin tahap kebersihan dan keselamatan yang diperlukan.

 Proses pengumpul face shield oleh Ajiman.
KUMPUL FACE SHIELD: Proses pengumpul face shield oleh Ajiman.

Selain itu, alat pelindung diri itu juga  dihantar ke Beluran, Telupid, dan Kinabatangan melalui perkhidmatan penghantaran barang dan Pos Laju. Di sana, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Beluran, Telupid dan Kinabatangan akan mengagihkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.  Di Beluran, Verra Ariati Silalihi selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah dan Rita Ajan (ADC ), mengagihkan kepada Klinik Ibu dan Anak Daerah Beluran, Klinik Kesihatan Beluran, RELA, BSN, dan Gemilang  Supermarket.

Manakala di Kinabatangan pula, Pesuruhjaya Kinabatangan Shopian Nasir berserta beberapa orang ahli pengakap Kelana menyerahkan sumbangan face sheild kepada Unit Bencana Daerah Kinabatangan, Pejabat Kesihatan Bukit Garam, Hospital Daerah Kinabatangan serta Pejabat Kesihatan Kinabatangan.  

Sementara itu, di Telupid pula, Riduan Junaidi selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Telupid menyerahkan sumbangan yang sama kepada pihak Klinik Kesihatan Telupid, Balai Polis, Pejabat Pos, serta beberapa buah pasar raya di sana.

BARMULI
BARMULI

Ketika ditanya berkenaan cabaran yang dihadapi dalam menjalankan usaha amal ini, Barmuli mengakui bahawa PKP sedikit sebanyak memberi kesan khususnya dari segi pergerakan bilamana terpaksa menunggu deretan kereta yang panjang ketika di jalan raya.

Selain itu, kedai-kedai untuk mendapatkan bahan-bahan asas juga amat terhad malah kadangkala kehabisan stok. Untuk itu, adakalanya, anaknya, Muhd Izzan akan membuat pembelian bahan secara atas talian bagi mengatasi kekurangan bahan.

Barmuli berharap, sumbangan kecil hasil usahasama Pengakap Bahagian Sandakan dan rakan-rakan strategik yang lain ini dapat membantu pihak-pihak terlibat dan menjadi motivasi serta menguatkan  semangat mereka dalam menajalankan tugas menghadapi COVID-19. Sesungguhnya pengorbanan mereka jauh lebih besar dan tidak ternilai berbanding sumbangan yang kami diberikan.  

Beliau juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama melawan wabak COVID-19 dengan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan demi kebaikan bersama. Kita perlu dan pasti menang bila kita bersama.

 Penyerahan kepada Kesihatan Beluran.
UNTUK KAKITANGAN: Penyerahan kepada Kesihatan Beluran.

Barmuli turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program membuat penutup muka  berkenaan khususnya kepada Muhd. Izzan dan Steven Tung Chun Heng.

Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada Ahli Parlimen Sandakan Wong Hon Kong dan PPM DUN Elopura Md. Afindy Shah, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sandakan Hanafie Hamadon, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sibuga Mohd Sofie Awang Basrih, Ketua Krew Kelana Pengakap Daerah Sandakan Aziman Ali @ Awang, Kalaimani Cares serta semua pemimpin dan Pengakap Kelana Bahagian Sandakan yang banyak membantu dalam usaha ini.

  • oleh
  • Advertisement