Anda di sini

Main telefon bimbit luar rumah ketika PKP, penganggur dihukum penjara 

Advertisement
Tertuduh (hadapan) diarahkan untuk menjalani hukuman penjara bermula hari ini. 

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara selama seminggu apabila didapati bersalah berada di luar rumahnya dan bermain telefon bimbit.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar di sini, hari ini menjatuhkan hukuman itu kerana Norhazman Hazmi, dalam lingkungan umur 30-an, melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Norhazman ketika ditemui di lobi mahkamah, dia bermain telefon bimbit di luar pagar rumahnya di Petra Jaya pada kira-kira 1.50 pagi, 15 April.

Mohd Syukri juga mengarahkan hukuman penjara dijalankan bermula hari ini. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Ketika ditangkap, tertuduh dikatakan sedang asyik bermain dengan telefon bimbit dan tidak sedar diperhatikan polis yang sedang melakukan pemantauan dan rondaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement