Anda di sini

55 ditahan ingkar PKP di Pusat Bandar Sandakan

Advertisement
 ACP Mohd Azhar pada sidang media selepas Operasi Bersepadu.
JANGAN INGKAR: ACP Mohd Azhar pada sidang media selepas Operasi Bersepadu.

SANDAKAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah masuk fasa ke-3, masih ramai individu degil dengan memberi pelbagai alasan berada di luar rumah.

Ekoran dari itu, seramai 55 individu ditahan dalam operasi bersepadu pematuhan PKP yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Agensi Pertahanan Awam (APM) dan beberapa agensi berkaitan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 48 orang lelaki dan 7 wanita di mana 38 orang adalah warganegara dan 17 orang lagi bukan warganegara.

“Kesemua diberkas ketika sedang berlegar-legar di kawasan Pusat Bandar Sandakan dengan memberi pelbagai alasan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Bersepadu, petang tadi.

Beliau berkata mereka yang diberkas ini dibawa balik ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan akan dijalankan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah bagi mengetahui mereka ini mempunyai alasan yang kukuh untuk berada di luar rumah serta berlegar-legar di bandar sama ada membeli barang keperluan harian atau saja-saja untuk keluar,” katanya.  

 Individu yang ditahan ingkar PKP dibawa ke Balai Polis Sandakan.  
DIBERKAS: Individu yang ditahan ingkar PKP dibawa ke Balai Polis Sandakan.  

Mohd Azhar berkata operasi bersepadu ini dijalankan bagi menangani penularan wabak COVID-19 yang melibatkan 54 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi.

Beliau menasihati masyarakat agar mematuhi arahan PKP untuk berada di rumah supaya kita dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Dalam pada itu ditanya sama ada yang diberkas ini dituduh di mahkamah, Azhar berkata pihaknya akan menjalankan siasat lanjut terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan mahkamah.

Mereka yang ingkar PKP boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • oleh
  • Advertisement