Anda di sini

Pakej Bantuan Peniaga Shopee bernilai RM15 juta

Advertisement
 

KUCHING: Kira-kira 70,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka menerima manfaat daripada Pakej Bantuan Peniaga Shopee bernilai RM15 juta.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, platform e-dagang tersebut telah mengumumkan pakej bantuannya semalam untuk membantu PKS dan perniagaan yang terjejas dengan ketara oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakej tersebut membantu menangani masalah yang dihadapi perniagaan berikutan pendekatan antara Shopee dan persatuan runcit, dewan perniagaan serta pemilik perniagaan.

“Dua cabaran yang telah dikenal pasti adalah: PKS sedang mencari saluran jualan baharu seperti e-dagang, tetapi tidak biasa dengan cara melakukannya.

“PKS ini mahukan rakan kongsi yang dapat memberi mereka panduan langkah demi langkah yang jelas, untuk memastikan mereka berjaya dalam perjalanan penjualan dalam talian mereka,” kata kenyataannya itu semalam.

Sejumlah besar peniaga dalam talian sedia ada sedang berdepan dengan peningkatan kos dan penurunan hasil yang signifikan akibat jumlah jualan yang rendah, tambahnya.

Pakej Bantuan Peniaga Shopee ini akan membantu PKS dan perniagaan tempatan dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan, hasil segar, makanan dan minuman dan banyak lagi dengan memacu pendigitalan perniagaan tradisional dan membawa perniagaan tersebut dalam talian.

Pakej tersebut juga bertujuan menyokong semua peniaganya dengan mewujudkan peluang jualan dan pertumbuhan, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pembangunan mampan melalui pembiayaan, subsidi dan pendidikan.

Pakej Bantuan Peniaga Shopee ini dibuka untuk permohonan bermula semalam sehingga 31 Mei dengan manfaat subsidi yuran peniaga, sokongan jualan peniaga, pakej digitalisasi, semua manfaat peniaga sedia ada dan pendidikan.

“Semua usaha kami, sama ada yang baharu mahupun yang lama, memaparkan komitmen kami sejak hari pertama dalam memajukan usahawan tempatan dan ekonomi digital Malaysia.

“Pakej Bantuan Peniaga Shopee bertujuan mewujudkan impak jangka panjang yang positif, walaupun selepas PKP.

“Kami memahami bahawa negara ini sedang melalui masa yang sukar sekarang dan kami berharap usaha ini dapat membantu PKS tempatan mengatasi kerugian dalam hasil luar talian, memperbaiki aliran tunai dan yang paling penting, mengekalkan perniagaan mereka,” katanya.

Justeru, pakej itu diharap dapat memberi rakyat Malaysia jaminan bahawa waktu ini dapat diharungi bersama terutama mereka yang akan meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pakej Bantuan Peniaga Shopee, sila layari  http://shopee.com.my/supportpackage

Advertisement