Anda di sini

Econsave import 10 juta unit topeng muka, dijual pada harga berpatutan

Advertisement
 Kakitangan Econsave menunjukkan bekalan topeng muka yang mula diagihkan kepada seluruh cawangan Econsave di Sabah dan Sarawak bermula semalam.
MURAH DAN BERKUALITI: Kakitangan Econsave menunjukkan bekalan topeng muka yang mula diagihkan kepada seluruh cawangan Econsave di Sabah dan Sarawak bermula semalam.

MIRI: Atas keprihatinan terhadap keselamatan pelanggan, pasar raya Econsave mengambil inisiatif dengan mengimport topeng muka sebanyak 10 juta unit untuk diagihkan dan dijual di seluruh cawangan Econsave Sabah dan Sarawak bermula semalam.

Turut menerima agihan topeng muka untuk dijual terbabit ialah Econsave Miri.

Dalam kenyataan media Econsave semalam, agihan bekalan topeng muka berkenaan dilakukan secara berperingkat setiap minggu dengan kuantiti sebanyak 30 kotak dengan setiap kotak mempunyai 2,000 unit.

Kuantiti berkenaan akan ditambah mengikut keperluan setiap kawasan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, penghantaran bekalan topeng muka berkenaan melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi tiga kali penghantaran menggunakan pengangkutan udara di mana setiap caj penghantaran RM8 hingga RM9 setiap kotak ditanggung sepenuhnya oleh pihak Econsave.

“Para pelanggan dapat membeli topeng muka tersebut yang berkualiti dan mempunyai CE-standard dengan harga 99 sen sahaja berbanding harga kawalan yang disyorkan kerajaan iaitu RM1.50 untuk satu unit.

“Harga 99 sen juga sama dengan harga jualan di Semenanjung Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Manakala fasa kedua pula ialah penghantaran kali keempat dan seterusnya dengan kaedah penghantaran menggunakan kapal kargo laut di mana kos penghantarannya juga diserap dan ditanggung sepenuhnya pihak Econsave sendiri dengan tujuan semua lapisan masyarakat mampu membeli topeng muka berkenaan.

Justeru, pihak Econsave berharap dengan usaha yang dilaksanakan itu, secara tidak langsung dapat memberi khidmat kepada masyarakat setempat dalam usaha bersama membendung pandemik COVID-19.

“Pada masa sama, pihak Econsave turut ingin memohon maaf atas kelewatan yang tidak dapat dielakkan dan menyebabkan bekalan topeng muka lewat sampai di cawangan Econsave Sabah dan Sarawak,” tambah kenyataan berkenaan.

Advertisement