Anda di sini

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedia bantu PKS

Advertisement
 

KUCHING: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menawarkan bantuan kepada pemilik perniagaan dan pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas oleh kelembapan perniagaan akibat pandemik COVID-19 di Malaysia.

Pengurus Besar Operasi AKPK Nor Fazleen Zakaria menerusi satu kenyataan berkata, PKS adalah penting dalam strategi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang menyumbang sekitar 40 peratus untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Malangnya, PKS kini terjejas teruk berikutan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan perlu dilanjutkan sehingga 28 April ini.

“Justeru, pakej rangsangan yang diumumkan Perdana Menteri adalah amat dialu-alukan sebagai satu langkah untuk membantu PKS untuk terus bertahan tanpa liabiliti yang besar dan tanpa perlu memberhentikan pekerja,” katanya hari ini.

Nor Fazleen berkata, bagaimanapun usaha sedemikian akan mengambil sedikit masa sebelum bantuan kerajaan itu benar-benar meringankan bebanan pengusaha PKS. 

Dalam tempoh itu, katanya, pengusaha mungkin tidak dapat membayar gaji kerana kekurangan jualan mahupun penutupan kedai. 

“Kad kredit mungkin digunakan untuk menampung kos tetap perniagaan dan hanya pembayaran minimum dapat dibuat apabila tarikh akhir pembayaran balik tiba. 

“Beban daripada hutang-hutang yang tidak dapat dielakkan ini lambat-laun akan menghantui pengusaha PKS.

“Sebagai agensi utama yang memantau dan memulihkan kewangan individu yang bermasalah termasuk pemilik tunggal, AKPK bersedia membantu individu menguruskan wang mereka dengan bijak berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan mereka untuk menghasilkan perubahan gaya hidup yang positif,” jelasnya.

Bagi mencapai matlamat itu juga, katanya AKPK memberikan lima cadangan untuk membantu pemilik perniagaan dan pekerja PKS yang bermasalah.

“Antaranya ialah kajian dan kaunseling kewangan; pendaftaran dalam Program Pengurusan Hutang; penyampaian modul pendidikan kewangan; perkhidmatan Perkiraan Sukarela atau Voluntary Arrangement (VA); dan program perubahan gaya hidup,” tambah beliau.

AKPK ialah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan April 2006 untuk membantu individu mengawal keadaan kewangan mereka dan mendapatkan ketenangan fikiran hasil daripada penggunaan kredit baik.

Perkhidmatan utama AKPK ialah Pendidikan Kewangan, Kaunseling Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.

Untuk maklumat lanjut mengenai AKPK, sila layari di https://www.akpk.org.my.

Advertisement