Anda di sini

Bedah siasat dapati pemuda disyaki gantung diri positif COVID-19

Advertisement
HABIBI
HABIBI

 

KOTA KINABALU: Hasil bedah siasat mendapati seorang lelaki warga asing yang disyaki gantung diri di hutan Pulau Gaya di sini, minggu lepas, positif COVID-19.

Berikutan itu juga, polis sudah menghubungi pihak hospital untuk memastikan urusan pengebumian jenazah pemuda terbabit, 27, dijalankan mengikut prosedur standard.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji turut mengesahkan 12 anggota polis dan kontak diarah untuk menjalani pemeriksaan dan kuarantin 14 hari.

“Enam anggota polis yang mengangkat mayat itu dari lokasi kejadian pada minggu lepas sudah menjalani pemeriksaan saringan kesihatan COVID-19,” katanya, di sini.

Habibi berkata semua anggota polis terlibat kini menjalani kuarantin 14 hari dan tempoh 72 jam berikutnya akan menentukan status mereka sama ada positif ataupun negatif.

Mengulas lanjut, turut diarahkan menjalani saringan, termasuklah pemandu pacuan empat roda terlibat, jurugambar dan mereka yang terbabit dalam pengurusan kes mayat terbabit.

“Semua anggota kita ada memakai sarung tangan dan topeng muka semasa mengangkat mayat si mati kerana itu prosedur operasi standard dalam pengurusan kes di lapangan.

“Semalam (kelmarin) mereka baharu sahaja selesai menjalani pemeriksaan saringan, kita tunggulah dahulu (hasil ujian saringan) mudah-mudahan semua negatif,” katanya.

Menurutnya, jika ada yang didapati positif, kemungkinan besar Balai Polis Gaya terpaksa ditutup sementara waktu, namun setakat ini belum ada keputusan pemeriksaan diterima.

Beliau berkata, mayat itu ditemui tergantung diri dekat hutan pulau terbabit minggu lepas, walaupun tidak ada unsur jenayah, punca sebenar kematiannya tidak dapat disahkan.

“Setakat ini tidak ada tuntutan mayat dibuat oleh waris dan kita juga belum dapat mengesahkan identiti lelaki terbabit kerana tidak ada dokumen pengenalan diri ditemui.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan penduduk Pulau Gaya supaya berhati-hati semasa melakukan rutin harian dan patuhilah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tidak ada sebarang perkhidmatan pengangkutan keluar masuk antara Pulau Gaya dengan Tanah Besar Kota Kinabalu dibenarkan kecuali dua bot setiap kampung yang berdaftar dengan polis.

"Daripada enam kampung yang ada di pulau itu, hanya 12 bot yang dibenarkan dan setiap individu yang menaiki bot perlu menjalani pemeriksaan suhu badan,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, Habibi berkata polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan juga sudah mengadakan operasi bersepadu di pulau minggu lepas.

Dalam operasi itu juga, KKM memilih 1,000 responden secara rawak untuk menjalani pemeriksaan saringan COVID-19, dan setakat ini hasil ujian masih belum disahkan.

Terdahulu, polis mengklasifikasikan siasatan kematian pemuda terbabit yang disyaki menggantung diri pada minggu lepas di pulau berkenaan sebagai kes kematian mengejut.

 

  • oleh
  • Advertisement