Anda di sini

Tangguh operasi kedai gunting rambut demi kepentingan semua - SBF

Advertisement
 

KUCHING: Kedai gunting rambut dan salun dandanan rambut sewajarnya tidak dibenarkan beroperasi semasa fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kata Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF). 

Setiausaha agung SBF, Jonathan Chai (gambar) berkata kerajaan harus mendengar pandangan profesional pakar perubatan demi kepentingan semua.

“Sejujurnya, tanpa berfikir banyak mengenai kemungkinan kontak badan ketika menggunting rambut, saya pada mulanya akan bersetuju dengan idea untuk membenarkan kedai gunting rambut dan salun dandanan rambut kembali beroperasi. 

“Tetapi selepas melihat semula komen-komen pakar dari bidang perubatan dan ketakutan kemungkinan menimbulkan kluster jangkitan COVID-19 baru, saya berpendapat adalah lebih baik kedai gunting rambut dan salun dandanan rambut ini tidak dibenarkan beroperasi,” katanya. 

Chai ketika dihubungi The Borneo Post menambah, sesiapa pun tidak mahu meletakkan tukang gunting rambut dan pekerja termasuk pelanggannya pada risiko jangkitan virus maut ini. 

Dalam pekerjaan ini katanya, adalah mustahil untuk mengamalkan penjarakan sosial antara tukang gunting rambut atau jurugaya rambut dengan pelanggan. 

Tambahan katanya, mereka berada di ruang sama untuk tempoh masa yang agak lama dengan pengudaraan yang terhad yang dapat meningkatkan peluang jangkitan jika seseorang itu pembawa virus. 

“Lagipun, nyawa adalah lebih berharga daripada kecantikan rupa,” kata Chai sebagai mengulas mengenai perkara ini. 

Dalam isu berkaitan, Chai berkata beliau agak terkejut mengetahui bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan untuk menangguhkan semula operasi sembilan sektor yang melibatkan bidang-bidang utama. 

Sembilan sektor ini diberikan lampu hijau untuk beroperasi semula mengikut peringkat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 

“Melihat kepada kenyataan Dr Noor Hisham, ia menunjukkan kurangnya penyelarasan dan rundingan antara kementerian berbeza,” katanya.  

Chai turut berpandangan bahawa idea membenarkan semula operasi sektor perniagaan tertentu akan diterima baik oleh komuniti perniagaan. 

Tetapi katanya pendekatan ini mesti dilaksanakan dengan berhati-hati dengan mengambil kira input pakar-pakar perubatan dan Kementerian Kesihatan. 

Advertisement