Anda di sini

Syarikat telekomunikasi pergiat komitmen bagi kesalinghubungan lebih baik - SKMM

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi dan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) giat berusaha memenuhi komitmen mereka untuk mengurangkan gangguan dialami sambungan kediaman, yang disebabkan lonjakan permintaan Internet daripada isi rumah susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata antara langkah yang diambil syarikat telekomunikasi termasuk menambah kapasiti lebar jalur bagi sambungan tetap dan mudah alih, serta mengoptimumkan rangkaian liputan untuk jalur lebar mudah alih.

“Aliran trafik Internet mencatatkan peningkatan 23.5 peratus bagi tempoh di antara 9 hingga 15 Mac (seminggu sebelum PKP)  dengan 16 hingga 22 Mac (minggu pertama PKP) yang jelas menunjukkan kenaikan permintaan.

“Susulan pelaksanaan PKP ramai yang kini mengamalkan konsep bekerja dari rumah sekali gus menyaksikan peralihan trafik rangkaian daripada kawasan perniagaan kepada kawasan perumahan,” kata suruhanjaya itu kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

SKMM berkata inisiatif naik taraf infrastruktur dan rangkaian dengan nilai pelaburan RM400 juta oleh syarikat telekomunikasi seperti diumumkan baru-baru ini menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat sedang dilaksanakan untuk menaik taraf, mempertingkat dan menyenggara rangkaian bagi meyelesaikan isu jalur lebar yang perlahan.

Ia berkata Telekom Malaysia Bhd (TM) dan TT dotCom Sdn Bhd (TIME) akan menyokong syarikat telekomunikasi dengan menyediakan kapasiti gentian optik tambahan untuk memenuhi permintaan trafik yang lebih tinggi.

Langkah peningkatan ini, yang antaranya meningkatkan kapasiti dan menambah baik liputan di lokasi penting termasuk hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media di seluruh negara  akan diteruskan sehingga akhir suku kedua tahun ini, menurutnya.

“Semua pengendali akan terus melabur dalam aspek yang diperlukan selain mempunyai pasukan yang berkhidmat 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu sepanjang tempoh PKP ini untuk menyenggara tapak, menaik taraf kapasiti, mengoptimumkan rangkaian dan meningkatkan liputan," kata SKMM.

SKMM berkata selain itu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesalinghubungan digital negara, khususnya di kawasan luar bandar.

Terdapat enam projek yang menumpukan penempatan infrastruktur untuk rangkaian tetap dan mudah alih, iaitu NFCP 1 hingga NFCP 6, yang semuanya berjalan lancar untuk pelaksanaan tahun ini dan akan selesai secara berperingkat dalam tempoh 2021 hingga 2023, menurutnya.

NFCP 1, 2, 4 dan 6 bertujuan meningkatkan liputan Evolusi Jangka Panjang (LTE) pada kelajuan purata 30 Mbps di kawasan penduduk menjelang 2023, manakala NFCP 3 dan 5 pula untuk memastikan 20 peratus premis di kawasan subbandar dan luar bandar mencapai kelajuan jalur lebar sehingga 500 Mbps menjelang 2022.

“Buat masa ini, SKMM berharap semua projek di lapangan dilaksanakan seperti yang dirancang, tanpa penangguhan yang lama.

“Pelaksanaan projek NFCP sedang dipantau teliti oleh SKMM dalam usaha untuk memenuhi jadual projek yang ditetapkan sebaik mungkin,” katanya. - Bernama