Anda di sini

Orang yang disyaki COVID-19 lari dari Hospital Umum Sarawak ditahan polis

Advertisement
 

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan seorang remaja lelaki Orang Yang Disyaki (PUI) COVID-19  di Taman Hussien, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani (gambar) berkata suspek yang dikatakan melarikan diri dari Hospital Umum Sarawak (HUS) itu ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat dari orang awam sekitar jam 4.25 petang.

Menurutnya, semasa ditahan suspek hanya seorang diri dan mendakwa ditinggalkan oleh rakannya.

"Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Gita dan hasil soal siasat, remaja terbabit mengaku keluar dari HUS.

"Dia sebelum ini dirawat di Pusat Jantung Kota Samarahan dan dirujuk ke HUS selepas mengadu sesak nafas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, remaja terbabit yang belum lagi disahkan positif COVID-19 kemudian dihantar ke HUS semula menggunakan ambulan.

"Sebagai langkah keselamatan, Balai Polis Gita telah melakukan kerja-kerja sanitasi dan anggota yang terlibat juga diarahkan membuat saringan.

Awang selain itu turut menafikan dakwaan mengatakan Balai Polis Gita ditutup.

"Balai Polis Gita masih beroperasi 24 jam seperti biasa, cuma kawasan di mana remaja terbabit dibawa untuk disoal siasat sahaja ditutup untuk kerja-kerja nyah cemar," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement