Anda di sini

Polis lebih tegas dalam melaksanakan tugas ketika PKP fasa seterusnya

Advertisement
 

KUCHING: Polis Sarawak akan lebih tegas dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar (gambar).

Menurutnya, pihaknya sudah menjangkakan lanjutan tempoh PKP tersebut dan sentiasa bersedia dengan apa sahaja keputusan kerajaan.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai untuk sama-sama mematuhi PKP dalam usaha menghentikan rantaian COVID-19.

"Untuk dua minggu seterusnya (15-28 April), kita akan lebih tegas menguatkuasakan PKP fasa ketiga ini dan kita mohon masyarakat untuk memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dev turut memberitahu kawalan di sempadan negara juga akan diperketatkan lagi dengan kerjasama dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Dalam masa sama Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama ATM akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan seperti yang diarahkan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg).

"Adalah amat penting untuk menghalang penularan virus ini melalui sempadan, terutamanya dari kemasukan pendatang asing secara haram," tegasnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tempoh PKP bermula dari 15 hingga 28 April ini selaras dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya tidak menamatkan PKP dengan lebih awal.
 

  • oleh
  • Advertisement