Anda di sini

Operasi sanitasi dilaksana di kawasan pusat bandar Limbang

Advertisement
 Anggota bomba melakukan sanitasi awam di tengah bandar Limbang, malam kelmarin.
NYAH KUMAN: Anggota bomba melakukan sanitasi awam di tengah bandar Limbang, malam kelmarin.

LIMBANG: Seramai 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 7 Limbang terlibat dalam Operasi Sanitasi Awam Limbang yang dijalankan di pusat bandar dekat sini, malam kelmarin.

Pegawai Operasi Zon 7 Limbang Sarawak Azman Ibrahim berkata, selain anggota bomba, operasi juga dibantu agensi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Daerah Limbang.

Beliau berkata, operasi Sanitasi Awam Limbang dijalankan di lima zon berbeza yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Limbang atas nasihat KKM.

“Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang melakukan proses sanitasi awam di zon dua yang meliputi kawasan seluas 37,366 meter persegi (m2).

“Kawasan ini adalah tumpuan orang ramai kerana terletaknya pusat bandar Limbang yang meliputi bangunan Arked MARA, bank, rumah kedai, laluan pejalan kaki, pasar awam, pejabat dan sebagainya,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, semburan dilakukan dengan menggunakan penyembur yang mengandungi kandungan cecair sanitasi iaitu sodium hypochlorite dengan nisbah 1:10 yg dibekalkan KKM Limbang.

“Pasukan petugas di nyah cemar setelah selesai melakukan proses sanitasi awam bagi memastikan keselamatan petugas dan mematuhi arahan jabatan yang telah ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, pasukan petugas juga dilengkapi peralatan keselamatan seperti yang ditetapkan KKM.

Operasi bermula jam 6 petang sehingga jam 9 malam.

Advertisement