Anda di sini

MR. D.I.Y. sumbang 300,000 penutup mulut dan hidung kepada petugas barisan hadapan

Advertisement
 Antara petugas barisan hadapan, polis, yang menerima sumbangan daripada MR. D.I.Y.
JASAMU DIKENANG: Antara petugas barisan hadapan, polis, yang menerima sumbangan daripada MR. D.I.Y.

KUCHING: Peruncit Perkakas Rumah, MR. D.I.Y. semalam telah menderma sejumlah 300,000 penutup mulut dan hidung tiga lapisan kepada para petugas barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Topeng muka yang dibekalkan terus dari China ini telah diedarkan kepada para petugas perkhidmatan awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak Hospital dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk kegunaan semasa bertugas di lapangan, ujar MR. D.I.Y. menerusi satu kenyataan.

MR. D.I.Y. turut menyumbang 1,000 sut pakaian perlindungan personal (PPE) kepada enam hospital di Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan.

“Ia terdiri daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” jelasnya semalam.

Pengarah Urusan, MR. D.I.Y. Group (M) Berhad, Adrian Ong berkata, sumbangan ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Kami telah mendapat bekalan penutup mulut dan hidung ini terus dari China. Sejurus ia tiba di Malaysia, MR. D.I.Y. melalui kumpulan logistik menghantar ke-semua PPE dan topeng muka kepada pelbagai pihak yang memerlukan.

 Kakitangan MR. D.I.Y. mengangkut barangan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan.
SUMBANGAN: Kakitangan MR. D.I.Y. mengangkut barangan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

“Sumbangan kami ini adalah sangat kecil berban-ding usaha petugas barisan hadapan dan kami berharap melaluinya, mereka sentiasa dilindungi semasa bertugas,” tambah Ong.

Dalam pada itu, wakil PDRM menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada MR. D.I.Y. kerana membekalkan keperluan penutup mulut dan hidung untuk kegunaan pegawai polis semasa bekerja di lapangan.

Ini bukan pertama kali MR. D.I.Y. membantu usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Menurut pihaknya, bermula 30 Januari tahun ini, peruncit perkakas rumah ini telah memulakan inisiatif dengan memberi 3.5 juta penutup mulut dan hidung secara percuma kepada orang awam di lebih 560 cawangannya.

Untuk maklumat lanjut mengenai MR. D.I.Y., layari https://www.mrdiy.com/, dan laman sosial, Facebook dan Instagram @mrdiy2u atau #mrdiycares.

Advertisement