Anda di sini

Juve sedia ‘pulangkan’ Ronaldo ke Real Madrid

Advertisement
RONALDO
RONALDO

Turin, Itali: Kelab Serie A Itali, Juventus, dikatakan bersedia untuk melepaskan pemain bintang mereka, Cristiano Ronaldo, kembali ke bekas kelab, Real Madrid dengan harga yang murah, menurut akhbar sukan harian Itali Corriere dello Sport.

Laporan dalam akhbar di Itali berkata Juventus kekurangan tunai dan mungkin bersedia menerima tawaran bernilai 50 juta pound untuk penyerang antarabangsa Portugal itu, dengan kelab gergasi bola sepak Sepanyol yang juga bekas kelab Ronaldo dikatakan ada menyuarakan minat.

Pandemik koronavirus (COVID-19) telah menyebabkan masalah dalam dunia sukan dan dijangka menyebabkan kerugian banyak wang dalam beberapa bulan, memaksa beberapa langkah drastik diambil.

Semua pendapatan dari hari perlawanan tidak diperolehi dengan liga tertangguh di seluruh dunia dan Juventus mungkin terpaksa untuk menjual beberapa pemain penting.

Ronaldo adalah pemain dengan gaji tertinggi dalam Serie A, dengan kontrak beliau bernilai 27.5 juta pound setahun, yang dijamin sehingga Jun 2022.

Bagaimanapun, pemain Juventus sudah bersetuju dengan pemotongan sementara gaji, yang memberi penjimatan kelab sebanyak lebih 80 juta pound dalam tempoh empat bulan.

Ronaldo sendiri akan melihat pengurangan 10 juta  pound gaji dalam beberapa bulan akan datang.

Ketika ini, malah kelab yang kaya seperti Juventus tidak mampu menyelesaikan hutang dengan pemain tanpa memperbaharui kontrak dan menstruktur semula pembayaran di masa hadapan.

Minggu lepas, pengerusi kelab, Andrea Agnelli, berasa yakin untuk mencapai persetujuan terma kontrak baharu sehingga 2024 dengan Ronaldo, mengukuhkan lagi status legenda beliau di kelab.

Beliau akan mencadangkan memanjangkan kos hutang 10 juta pound kepada Ronaldo dalam dua musim akan datang.

Bagaimanapun, laporan terbaharu ini akan mencadangkan bahawa mereka sekarang bersedia untuk menerima hakikat beliau akan meninggalkan kelab, yang mungkin membuka ruang kepulangan ke Real Madrid.

Ronaldo menyertai Juventus dari Real Madrid pada 2018 dengan yuran perpindahan 100 juta pound, jadi sebarang kepulangan ke Real Madrid dengan yuran lebih rendah menyaksikan Juventus bersedia menerima kerugian.

Ronaldo menjaringkan 450 gol dalam 438 penampilan bersama Real dan beliau sudah menjaringkan 53 gol dalam 75 perlawanan bersama Juventus sejak tiba di Turin.

Kepulangan ke Real mungkin amat popular di kalangan penyokong kelab walaupun pemain berusia 35 tahun itu mungkin berdepan saingan lebih sengit di kelab dalam beberapa musim akan datang.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane, mungkin lebih memberi fokus kepada pemain masa hadapan, dengan penyerang muda Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe berada dalam senarai teratas pemain buruannya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan Mbappe mungkin tertangguh kerana COVID-19 dengan kelab berharap untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Perancis itu dengan harga lebih rendah sekitar 132 juta pound pad 2021. — AFP

Advertisement