Anda di sini

SKA akan susun semula program latihan

Advertisement
JULIAN.
JULIAN.

KOTA KINABALU: Persatuan Karate Sabah (SKA) akan susun semula prgoram latihan untuk atlet Sukan Malaysia (SUKMA) selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Setiausaha Agung SKA, Julian Chin berkata, semua karatekas SUKMA Sabah telah balik kampung dan menjalani latihan sendiri di kediaman masing-masing sebaik PKP dikuatkuasakan.

Kerajaan Malaysia teleh menguatkuasakan dua fasa PKP dalam usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19 di negara ini. Fasa pertama berkuatkuasa pada 18-31 Mac tetapi kemudiannya dilanjutkan ke fasa kedua sehingga 14 April.

"Sebaik arahan PKP berakhir, semua atlet SUKMA kami akan panggil untuk menjalani latihan dengan program baru kerana kita tidak tahu berapa ramai yang dapat menjalani latihan sepenuh masa di kediaman masing-masing disebabkan mereka juga ada komitmen dengan pelajaran.
 
"Jurulatih-jurulatih kami juga ada menyediakan program latihan untuk mereka di rumah tetapi bukan mudah untuk memantau sepenuhnya apa yang mereka lakukan kecualilah mereka begitu komited dan berdisplin," kata Julian ketika dihubungi di sini.

Apapun katanya, mereka tidak terlalu risau dengan latihan kerana SUKMA 2020 yang sepatutnya berlangsung di Johor pada 11-19 Julai telah ditunda ekoran wabak COVID-19.

Penganjuran edisi ke-20 sukan dwi tahunan terbesar negara itu dijangka akan dianjakkan ke 2021 walaupun terdapat juga cadangan ia diadakan pada penghujung tahun ini.

"Buat masa ini, kita belum tahu bila tarikh sebenar SUKMA. Kalau sudah tahu, barulah kita boleh susun semula program latihan," kata Julian.

Sambil itu, Julian memberitahu bahawa edisi ke-40 Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) 2020 di mana Sabah sepatutnya menjadi tuan rumah pada Jun depan juga telah ditunda.

"Kejohanan kebangsaan itu juga telah ditunda disebabkan COVID-19. Perkara ini kita kena tunggu keputusan MAKAF," kata Julian.

  • oleh
  • Advertisement