Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah ingkar PKP

Advertisement
Pesalah PKP yang gagal membayar denda bakal dipenjara seminggu.
Pesalah PKP yang gagal membayar denda bakal dipenjara seminggu.

KUCHING: Seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan bebas melalui ikat jamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Sandy Yvette Freddy kemudian menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi Mustaza Samsuddin, 38. 

Sementara itu, dia dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM800 beserta dua penjamin tempatan. 

Mustaza didakwa di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) akta sama.

Dalam pada itu, seramai lapan individu lain mengaku bersalah apabila didakwa di bawah Peraturan sama. 

Muhammad Zhai Suhaimi Abdullah@Ku Kuet Leong, 26, dan Awang Abdul Hafiz Awang Seari, 30, masing-masing didenda RM700 manakala Azizul Abu, 36, didenda RM300. 

Lima lagi individu, Izat Saddam Sulaiman, Mohamad Noorfiqri Mahdi, Awang Hailemiham Awang Drahman, Haslina Sulaiman dan Alora Amban Jugah yang berusia antara 24 hingga 38 tahun pula masing-masing didenda RM800. 

Sekiranya gagal membayar denda yang diperuntukkan, mereka bakal dipenjara selama seminggu. 

Mahkamah juga menetapkan 15 dan 25 Mei depan untuk mendengar laporan sosial bagi empat pesalah bawah umur yang berusia antara 15 hingga 20 tahun. 

Waran tangkap juga dikeluarkan terhadap Lim Jin Hai, seorang warga emas berusia 56 tahun dan Mokhtar Majini, lelaki berusia 33 tahun. 

Majistret menetapkan 14 Mei untuk dibawa semula mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh ASP Rogayah Rosli manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 


 

Advertisement