Anda di sini

JKNS sasar 4,600 lagi ujian COVID-19 dapat dijalankan di Sabah

Advertisement
 Pasukan khas yang bertugas memproses sampel di MKAKK untuk pengesanan COVID-19.
MAKMAL: Pasukan khas yang bertugas memproses sampel di MKAKK untuk pengesanan COVID-19.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyasarkan sekitar 4,600 lagi ujian COVID-19 dapat dijalankan di negeri ini dalam tempoh dua hari bermula hari ini (9 April).

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalan operasi berkenaan di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK).

Katanya, pasukan khas itu melibatkan dua kumpulan petugas iaitu setiap kumpulan seramai 15 orang.

"Mereka ini bekerja sepanjang masa untuk pastikan semua bekalan kelengkapan yang tertangguh dan baharu sampai dapat disaring sepenuhnya.

"Justeru, kita sasarkan pasukan khas ini dapat menjalankan sekitar 4,600 ujian supaya kita boleh nampak situasi sebenar bilangan kes jangkitan COVID-19 di Sabah.

"Bekalan kelengkapan yang tertangguh sebelum ini antara punca yang menghalang kita untuk melihat sama ada bilangan kes ini bertambah atau tidak," katanya.

CHRISTINA
CHRISTINA

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan topeng muka daripada Ma Zhong Friendship Association Sabah kepada Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) di sini.

Sumbangan itu disampaikan kepada Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon dan disaksikan oleh Konsul Jeneral Negara China di Kota Kinabalu Liang Caide.

Christina berkata, jumlah ujian yang dapat dijalankan hanya bergantung kepada jumlah kelengkapan dan keupayaan yang ada di makmal.

Pihaknya turut maklum ramai yang mengadu lewat menerima keputusan ujian COVID-19. Namun, pihaknya terpaksa mengambil masa untuk mengeluarkan keputusan ujian memandangkan keupayaan makmal yang terbatas.

Dalam pada itu jelasnya, sehingga 8 April 2020, sebanyak 248 kes positif COVID-19 dilaporkan di negeri ini selepas tujuh kes baharu direkodkan membabitkan kawasan Keningau (tiga), Tambunan (dua) selain Kota Kinabalu dan Papar masing-masing satu kes.

Menurutnya, pada 7 April 2020, sebanyak 560 ujian COVID-19 dijalankan dan terdapat tujuh ujian positif termasuk satu sampel ulangan.

Selain itu katanya, bilangan kes yang tidak mendadak naik di Sabah membantu pihaknya memberi tumpuan kepada rawatan pesakit.

"Kita tidak mahu situasi kes yang mendadak naik hingga tidak dapat memberi perhatian kepada pesakit.

"Memandangkan kita masih dapat mengawal bilangan kes yang terdapat di Sabah, justeru kita dapat pastikan pesakit yang dirawat betul-betul sembuh dan bebas dari jangkitan COVID-19 sebelum dibenarkan discaj," jelasnya.

Beliau memberi jaminan, Sabah setakat ini masih mampu merawat dan memastikan pesakit bebas sepenuhnya dari COVID-19 untuk dibenarkan discaj.

  • oleh
  • Advertisement