Anda di sini

Daudsu berlatih berpandukan Youtube

Advertisement
 Daudsu membuat senaman untuk mengekalkan stamina di dalam rumahnya di Kota Bahru, Kelantan semalam. — Gambar Bernama
KEKALKAN KECERGASAN: Daudsu membuat senaman untuk mengekalkan stamina di dalam rumahnya di Kota Bahru, Kelantan semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Pemain ‘otai’ Kelantan United (KUFC), Daudsu Jamaludin, mengekalkan tahap kecergasan dengan menjalani latihan berpandukan video di YouTube sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemain pertahanan berusia 32 tahun itu berkata beliau menjalani latihan kecergasan itu di rumah sekurang-kurangnya sejam setiap hari bagi mengekalkan stamina berikutan hampir sebulan tidak menjalani latihan bersama pasukan.

“Inisiatif itu dilakukan sebagai latihan tambahan kepada program latihan yang diberikan oleh jurulatih kepada pemain dalam tempoh PKP  ini.

“Bagi pemantauan, saya dan rakan pasukan lain akan merekodkan dan memuat naik dua atau tiga video latihan kepada jurulatih untuk perkembangan dan bukti kami tidak duduk sahaja di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Batu 2, di sini, semalam.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menangguhkan semua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di bawah kelolaan badan induk itu dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Daudsu berkata sebagai pemain profesional, inisiatif latihan sendiri adalah sebahagian tanggungjawab yang perlu dilakukan walaupun tidak menjalani latihan secara berpasukan.

“Walaupun kami kekurangan peralatan di rumah, namun dengan kemudahan internet ketika ini dapat membantu saya dan rakan lain untuk menjalani latihan sendiri walaupun perlu akui agak bosan tidak melakukan latihan bersama pasukan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh berada di rumah beliau dan rakan pasukannya turut mengawal selera makan bagi mengawal berat badan.

“Berat badan saya masih terkawal, dan sebagai pemain profesional perkara itu juga perlu dijaga apatah lagi latihan berat bersama pasukan tidak dilakukan.

“Dalam tempoh PKP ini, saya berharap diri saya dan rakan pasukan yang lain dapat menjaga diri masing-masing dari aspek disiplin, kesihatan dan dan keselamatan serta mengikuti arahan daripada pihak berkuasa,” katanya. — Bernama

Advertisement