Anda di sini

Bola Sepak Liga Perpaduan ditunda

Advertisement
EDWIN
EDWIN

KOTA KINABALU: Kejohanan Bola Sepak Liga Perpaduan Sabah 2020 yang persaingan awalnya baru memasuki separuh jalan ditunda.

Ketua penganjur, Edwin Jomiji berkata, kejohanan itu ditunda bagi menyokong Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  sejak 18 Mac hingga 14 April yang dikuatkuasakan Kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

"Kejohanan ini hanya akan diteruskan selepas mendapat lampu hijau dari pihak berkuasa di mana aktiviti seperti penganjuran bola sepak dibenarkan," kata Edwin ketika dihubungi di sini kelmarin.

Edwin berkata, virus COVID-19 adalah wabak pandemik yang penularannya tanpa sempadan.

"Semua pun terkesan oleh wabak ini. Dalam kesempatan ini kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjadikan daerah Penampang kekal selamat terutama anggota keselamatan, kesihatan, Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Penampang.

"Terima kasih juga kepada Kompleks Sukan Penampang dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Daerah Penampang yang telah memberi kerjasama kepada penganjuran Liga Perpaduan termasuk nasihat agar kejohanan ini ditangguhkan sementara," katanya.

Sehubungan dengan itu, Edwin meminta semua pasukan dalam kejohanan itu terus bersama mereka dan setia menanti kejohanan itu disambung semula.

"Buat masa ini kita kena patuhi PKP kerana keselamatan dan kesihatan kita jauh lebih penting," katanya sambil memberitahu bahawa kejohanan itu sepatutnya berakhir pada Julai.

Edisi kelima kejohanan dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai lebih RM40 ribu itu mempertandingkan dua kategori iaitu kategori Super Veteran dan Mix Veteran.

Pertandingan yang berlangsung di Penampang sejak Disember itu menyaksikan Super Veteran disertai 17 pasukan manakala Mix Veteran 15 pasukan.

Super Veteran terbuka dengan kuota kelayakan pemain 5-4-1-1 iaitu lima pemain berusia 50-54 tahun, empat pemain  55-59 tahun dan seorang pemain 60 tahun ke atas manakala penjaga gol 50 tahun ke atas.

Kuota pemain Mix Veteran pula adalah 5-5-1 iaitu masing-masing pemain berusia 40-44 tahun dan 45 tahun ke atas  serta penaga gol berusia 40 tahun ke atas.

  • oleh
  • Advertisement