Anda di sini

Tindakan SPRM periksa pengagihan bantuan disambut baik

Advertisement
 Lukanisman (kiri) menunjukkan bungkusan bantuan makanan kepada dua pegawai SPRM (di sebelah kiri beliau) di Sibuti semalam.
IKUT STANDARD: Lukanisman (kiri) menunjukkan bungkusan bantuan makanan kepada dua pegawai SPRM (di sebelah kiri beliau) di Sibuti semalam.

MIRI: Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni menyambut baik langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang melakukan pemeriksaan ke atas kerja-kerja pengagihan bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurutnya, ini merupakan satu pendekatan terbaik memastikan semua urusan dilakukan dengan telus bermula di peringkat pembelian bantuan makanan, pembungkusan dan seterusnya diserahkan kepada penerima yang layak dan harus dilaksanakan di seluruh negara bagi mengelak sebarang salah laku.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo ketika ditanya berhubung kehadiran sepasukan pegawai SPRM turun padang meninjau kerja-kerja pembungkusan dan pengagihan bantuan makanan di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti di sini semalam.

“Saya amat berterima kasih kepada SPRM sebentar tadi melakukan tinjauan melihat bagaimana kerja-kerja pengagihan bantuan PKP dilakukan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti.

“Saya sangat mengalu-alukan usaha ini, ia merupakan satu tindakan proaktif dilakukan oleh SPRM memandangkan banyak berita kita baca di media sosial terutama berkaitan pengagihan barangan tidak menepati standard diperlukan oleh penerima,” jelasnya.

Menurut Lukanisman, pusat khidmatnya  melakukan kerja-kerja pengagihan bantuan sejak seminggu lalu dan sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada SPRM termasuk menunjukkan bukti pembelian, peruntukan diterima oleh pusat khidmat daripada kerajaan negeri dan pusat.

Dalam pada itu, untuk kawasan Parlimen Sibuti beliau berbincang dengan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir dan Bekenu berhubung proses pengagihan bantuan makanan agar tidak berlaku pertindihan dan memastikan setiap pintu rumah terutama mereka yang memerlukan menerima bantuan.

Pada sesi tinjauan singkat SPRM itu, Lukanisman menjelaskan bahawa proses pengagihan bantuan dilakukan mengikut prosedur.

Manakala semua bekalan makanan diagihkan adalah diterima daripada kerajaan pusat sampai adalah melalui perolehan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dipersetujui Jawatankuasa Bencana setiap bahagian.

“Buat masa ini, kita masih melakukan kerja-kerja pengagihan bantuan dari rumah ke rumah terutama di kawasan perumahan Taman Tunku. Manakala penghantaran bantuan untuk rumah panjang sudah selesai.

“Sekiranya ada tercicir, kita menghantar bantuan serupa kepada mereka berkenaan,” katanya sambil mengulangi tindakan SPRM melakukan pemeriksaan di pusat pengagihan bantuan sememangnya diperlukan untuk membuktikan ketelusan dan integriti.

Jelas Lukanisman, setakat ini sebanyak 8,047 bungkus bantuan makanan diagihkan di kawasan Parlimen Sibuti dan daripada jumlah itu 5,226 bungkus untuk penduduk di DUN Bekenu dan selebihnya kawasan DUN Lambir.

Advertisement