Anda di sini

Seramai 454 individu ditahan ingkar PKP - Ismail Sabri 

Advertisement
 
 

PUTRAJAYA: Jumlah tangkapan individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 454 pada Selasa berbanding 403 pada Isnin, iaitu peningkatan 13 peratus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata daripada jumlah itu, seramai 380 individu ditahan reman manakala selebihnya 74 orang telah dibebaskan dengan jaminan.

"Kerajaan dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi sedikit pun dengan sesiapa yang ingkar kepada perintah yang dikeluarkan. Tindakan lebih tegas telah dilaksanakan PDRM bagi memastikan tiada pelanggaran perintah berlaku.

"Saya harap rakyat kita patuhlah kepada setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan kerana jika tidak mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak polis dan sebagainya," katanya dalam sidang media harian berkaitan perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac hingga semalam, seramai 6,905 individu telah ditahan kerana ingkar.

Menurut beliau, semalam PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 758 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 441,893 kenderaan.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 35,263 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dan 5,580 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata sejak 30 Mac sehingga kini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan 807 operasi sanitasi di 86 zon termasuk 21 Zon Merah dan 18 Zon Jingga.

"Semalam, sebanyak 141 operasi sanitasi meliputi 54 zon di 12 negeri, termasuk 39 kawasan di Johor dan 27 kawasan di Melaka.

"Kawasan yang turut dinyahcemar turut meliputi 621 bangunan kerajaan dan 370 tempat awam," katanya.

Beliau berkata sebanyak 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 12,459 unit rumah telah dinyahcemar dan sebanyak 14 PPR dalam proses nyahcemar melibatkan 19,342 unit rumah. - Bernama 

Advertisement