Anda di sini

Sekarang bukan masa untuk berpolitik - Baharuddin

Advertisement
 

KUCHING: Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik ketika rakyat dan negara berdepan krisis besar.

Perkara itu ditegaskan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Petra Jaya Baharuddin Mokshen (gambar) sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Sarawak Joshua Jabeng pada Selasa yang mengesyorkan kepada Jawantankuasa Disiplin PKR pusat untuk memecat beliau bersama 11 lagi pemimpin peringkat cabang kerana dikatakan cuba melemahkan kepimpinan PKR.

"Saya mahu menegaskan di sini, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik ketika rakyat dan negara sedang berdepan krisis besar iaitu pandemik COVID-19.

"Hakikatnya apa yang dilakukan oleh beliau (Joshua) sebenarnya menunjukkan karakter sebenar beliau. Jadi saya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini, ketika ini," tegasnya ketika dihubungi hari ini.

Baharuddin berkata beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk menentukan sama ada beliau bersama 11 lagi pemimpin PKR negeri layak dipecat atau sebaliknya.

"Kita serah kepada Jawatankuasa Disiplin parti. Kita tunggu Jawatankuasa Displin memanggil kami semua dan kami akan memberi penjelasan.

"Mereka juga perlu menyatakan bukti, alasan kenapa kami perlu dipecat," katanya.

Joshua dalam kenyataan itu berkata beliau menerima maklumat 12 pemimpin cabang PKR Sarawak bekerjasama dengan parti politik lain untuk melemahkan kepimpinan PKR.

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan, 12 pemimpin cabang berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk dipecat serta merta.

Menurut Joshua pemecatan pemimpin-pemimpin cabang itu akan mengukuhkan lagi parti yang dikatakan berbalah sejak 2018.

Selain Baharuddin 11 lagi pemimpin cabang berkenaan ialaj See Chee How (Stampin), Boniface Willy Tumek (Mas Gading), Simon Siah Sy Jen (Bandar Kuching), Jemree Sabli (Kota Samarahan), Cyril Langin (Serian), Yen Jebeni (Sri Aman), Nicholas Bawin Anggat (Lubok Antu), Vernon Kedit (Betong), Hung Soon Kieng (Lanang),Abdul Raafidin Majidi (Sibu) dan Kelvin @ Kilo Lutan (Bintulu).

  • oleh
  • Advertisement