Anda di sini

Sebanyak 24.62 juta penutup mulut dan hidung kini diedar kepada rakyat - Ismail Sabri 

Advertisement
Grafik hiasan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Sebanyak 24.62 juta penutup mulut dan hidung kini dalam proses pengedaran kepada setiap rakyat secara percuma di seluruh negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak empat keping penutup muka akan diagihkan kepada setiap isi rumah.

Beliau berkata tugas pengedaran akan diselia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada Majlis Keselamatan Negeri, sebelum diedar ke daerah-daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Dari sini ia akan diagih rumah ke rumah oleh petugas barisan hadapan di daerah.

“Untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, ia akan dihantar melalui penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada Jumaat ini, selepas itu akan diagih ke peringkat daerah dan seterusnya ke rumah-rumah,”  katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Selain tabung rasmi COVID-19 yang diwujudkan kerajaan, Ismail Sabri berkata terdapat juga tabung lain yang diwujudkan atas inisiatif dan keprihatinan rakyat Malaysia bagi membantu golongan memerlukan.

Justeru, katanya kerajaan mencadangkan supaya setiap tabung berkenaan didaftarkan dengan  Kementerian Kewangan bagi membolehkan penyumbang diberikan insentif pengecualian cukai.

“Ramai rakyat Malaysia yang prihatin kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuk memberikan sumbangan penutup mulut dan hidung, PPE (peralatan perlindungan diri) dan berbagai lagi… oleh itu banyak tabung yang telah diwujudkan.

“Kita harap mereka daftar dan laporkan kepada Kementerian Kewangan supaya pengecualian cukai dapat mereka nikmati,” katanya. 

Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas inisiatif mewujudkan tabung-tabung berkenaan. - Bernama 

Advertisement