Anda di sini

Quibi lancar platform striming Hollywood ‘on the go’

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Whitman bercakap semasa satu acara memperkenalkan perkhidmatan striming video pendek untuk  Quibi pada 8 Januari 2020 di Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas, Nevada.  — Gambar AFP
RASMI DILANCAR: Gambar fail menunjukkan Whitman bercakap semasa satu acara memperkenalkan perkhidmatan striming video pendek untuk Quibi pada 8 Januari 2020 di Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas, Nevada. — Gambar AFP

PLATFORM striming bernilai berbilion dolar yang dilancarkan pada Isnin lepas, Quibi, berharap ia dapat mengubah hiburan dengan klip-klip kualiti Hollywood yang pendek untuk ditontoni “on the go” – ketika kebanyakan manusia di dunia ‘terperangkap’ di rumah.

Bintang dan legenda industri daripada Steven Spielberg dan Guillermo del Toro hingga kepada Jennifer Lopez dan Reese Witherspoon telah berbaris untuk membuat filem dan siaran untuk khidmat yang fokus kepada belia hanya untuk telefon pintar sahaja.

Mengambil kesempatan ke atas kepesatan dalam tontonan video menerusi telefon bimbit, semua kandungan akan disampaikan dalam klip-klip tidak melebihi masa 10 minit – atau “quick bites”.

Setiap siaran mesti dibuat dalam kedua-dua bentuk mendatar dan menegak, secara automatik bertukar-tukar di antara kedua-duanya apabila penonton menggilirkan telefon mereka.

Namun rancangan Quibi sudah dibuat lama sebelum pandemik koronavirus memaksa arahan duduk di rumah bagi berbilion manusia di seluruh dunia – yang bermakna tidak ada orang yang agak pasti bagaimana untuk mengukur kejayaan dalam masa beberapa bulan akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Quibi kepada AFP.

“Sejujurnya, kita tidak tahu, kerana kita mengadakan pelancaran pada waktu yang luar biasa,” kata Meg Whitman, yang sebelum ini mengetuai eBay.

“Saya tidak fikir seorang pun daripada kita pernah melihat perkara seperti ini,” tambahnya.

Sementara tidak ramai orang kini diandaikan menonton video ketika berulang-alik atau sewaktu berehat untuk minum kopi, pengasingan diri boleh menimbulkan keperluan tersendiri untuk mengalih perhatian dengan cepat, kata eksekutif Quibi.

“Orang masih ada masa di antara – ia cuma berlainan,” kata Whitman.

Salah satu masa sedemikian, katanya, mungkin berlaku apabila seorang ibu atau bapa yang letih berehat seketika daripada menyampaikan pelajaran sekolah kepada anak-anak di rumah.

“Saya hidup dengan panggilan Zoom sepanjang hari,” katanya, yang merujuk kepada perisian persidangan dari jauh yang popular.

“Tetapi dari semasa ke semasa, saya akan ada masa selama 10 atau 15 minit antara panggilan Zoom dan saya akan menonton Quibi.”

‘SEDIKIT GILA’

Sajian yang amat hebat – 50 siaran pada waktu pelancaran, dengan 175 siaran asal pada tahun pertamanya – membantu menjadikan keputusan Quibi untuk kekal dengan tarikh pelancarannya yang sudah lama ditetapkan pada 6 April jauh lebih mudah, kata Whitman.

Nama-nama besar dari Hollywood sudah memberikan komitmen untuk bekerja bersama Quibi kerana pangasasnya, Jeffrey Katzenberg, tokoh unggul di Tinseltown yang menguruskan Disney Studios selama sedekad dan sama-sama menubuhkan DreamWorks.

“Kita ada kandungan yang mencukupi dalam simpanan,” kata Whitman.

Filem pelancaran seperti filem aksi psikologi ‘Survive’ – yang dibintangi rakan alumni ‘Game of Thrones’, Sophie Turner – dan filem distopian lakonan Liam Hemsworth ‘Most Dangerous Game’ dijangka akan menarik pelanggan awal.

Selepas kelompok awal pada waktu pelancaran, satu “bab” akan dikeluarkan setiap hari, dengan matlamat untuk menyalakan semula “saat-saat penyejuk air” bagi televisyen tradisional.

Kandungan skrip baharu sudah dijadualkan untuk hujung musim luruh. Tetapi di tengah-tengah keadaan yang begitu tidak menentu di Hollywood, apa yang akan berlaku seterusnya menjadi teka-teki.

“Kita sudah tentulah berharap penerbitan akan kembali dalam talian tidak lama lagi,” kata Whitman.

“Kita tidak tahu. Kita perlu menerima kesamaran dengan baik.”

Quibi juga mahu memastikan pengguna terus kembali dengan berita harian, sukan dan siaran hiburan – satu genre yang jauh lebih sukar untuk diterbitkan pada waktu studio ditutup di seluruh Amerika Syarikat.

“Keadaan sedikit gila,” akui Whitman, yang menyatakan banyak siaran akan dibuat dari rumah pengacara dan bukannya studio yang dibina khas.

“Dua minggu lalu, kita fikir mungkin empat atau lima daripada ‘Daily Essentials’ ini tidak mungkin dapat diterbitkan bagi kita,” katanya. “Tetapi semuanya sudah diterbitkan.”

‘AS$100,000 SEMINIT’

Langganan akan memakan kos AS$5 (RM22.50) sebulan dengan iklan, atau AS$8 (RM36) tanpa iklan. Tetapi dengan kekurangan wang tunai bagi ramai orang selepas pengangguran melonjak, Quibi pada bulan lepas melanjutkan tempoh percubaan selama dua minggu kepada tawaran selama 90 hari.

Quibi juga mesti bersaing untuk masa penonton muda dengan jutaan video percuma – dan selalunya dijana oleh pengguna - yang dihoskan oleh YouTube, TikTok, Facebook dan Instagram.

Andaian ialah, sama seperti HBO mengubah televisyen dengan kandungan langganan perdananya, Quibi boleh mendorong orang untuk berbelanja jika kualiti cukup tinggi.

“Kita membayar sebanyak AS$100,000 seminit untuk bab dan filem bentuk panjang kita yang premium,” kata Whitman.

“Apa yang kita akan hasilkan untuk wang yang kita belanja adalah sangat berbeza daripada kreativiti menakjubkan orang yang menerbitkan siaran untuk AS$500 seminit,” tambahnya.

Bajet Quibi yang begitu tinggi boleh dibandingkan dengan platform striming bentuk lebih panjang seperti Netflix, Amazon Prime, Disney+ dan Apple TV+, dan HBO Max serta Peacock dijadual turut serta tidak lama lagi.

Namun Whitman menegaskan Quibi – yang mahu mewujudkan “gelombang penceritaan besar seterusnya” – tidak menganggap mereka sebagai pesaing secara langsung.

“Dahulu ada filem, dahulu ada televisyen, dahulu ada striming,” kata Whitman.

“Dan sekarang mungkin ada cara baharu ini untuk menceritakan kisah bagi telefon bimbit, dalam cara-cara kualiti Hollywood.” — AFP

Advertisement