Anda di sini

Polis tahan lelaki pecah masuk restoran semasa PKP 

Advertisement
 Habibi menunjukkan peralatan yang digunakan oleh suspek untuk memecah masuk kedai di Plaza Juta Likas.
SIDANG MEDIA: Habibi menunjukkan peralatan yang digunakan oleh suspek untuk memecah masuk kedai di Plaza Juta Likas.

KOTA KINABALU: Perbuatan seorang lelaki memecah masuk sebuah restoran makanan segera serta melarikan beberapa barangan bernilai RM14,581.80 membawa padah apabila ditahan polis di rumahnya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian disedari apabila pengurus restoran melihat pintu kaca hadapan pecah semasa ingin memulakan perniagaan di Plaza Juta Likas awal bulan ini.

“Hasil siasatan mendapati beberapa barangan di dalam restoran termasuk televisyen, telefon, dua mesin juruwang serta motosikal milik syarikat terbabit hilang dipercayai dicuri.

“Anggaran kerugian sebanyak RM14,581.80 sebelum mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata bertindak dengan maklumat diterima pihaknya kemudian berjaya mengesan suspek di sebuah rumah di Kampung Bakau Likas dan menahan suspek kira-kira jam 7.30 pagi Ahad lalu.

“Semasa penahanan suspek, kita berjaya merampas kembali beberapa barangan dicuri termasuk motosikal, televisyen serta peralatan untuk menjalankan kegiatan pecah masuk kedai.

“Suspek menyasarkan restoran yang tertutup sebelum memecah masuk semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuatkuasa.

“Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau mengikut kesalahan narkotik serta pencerobohan kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement