Anda di sini

Peniaga perlu mematuhi SOP semasa beroperasi

Advertisement
 Superi (kanan) pada taklimat akhir selepas operasi nyah kuman kepada petugas-petugas di Limbang, malam kelmarin.
PERANGI COVID-19: Superi (kanan) pada taklimat akhir selepas operasi nyah kuman kepada petugas-petugas di Limbang, malam kelmarin.

LIMBANG: Semua peniaga di daerah ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah Limbang dalam memerangi penularan wabak COVID-19 di Limbang.

Pegawai Daerah Limbang yang juga pengerusi jawatankuasa itu Superi Awang Said memberitahu, setiap kedai runcit yang beroperasi perlu menyediakan sinki mudah alih dan bahan pencuci tangan di hadapan kedai masing-masing bagi memastikan setiap pelanggan yang datang membasuh tangan sebelum dan selepas memasuki premis mereka.

Beliau berkata, bagi kedai yang menghadapi kesukaran berbuat demikian, mereka menyatakan persetujuan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman sebagai pengganti kepada sinki dan bahan pencuci tangan tersebut.

“Melalui SOP yang dikuatkuasakan ini para peniaga perlu memastikan penjarakan sosial terus diamalkan terutama di kaunter pembayaran semasa menunggu dan semasa berada di dalam kedai.

“Penguatkuasaan ini akan dibantu sepenuhnya oleh pemilik kedai yang akan memaklumkan dari semasa ke semasa kepada pelanggan mereka mengenai penjarakan sosial dan kepentingan menjaga kesihatan,”katanya kepada media semalam.

Superi berkata, pemilik premis juga perlu menguatkuasakan sekatan bilangan pelanggan yang memasuki premis bergantung kepada keluasan premis masing-masing.

Pemilik premis jelasnya, akan menentukan bilangan bersesuaian yang boleh masuk ke dalam premis mereka pada satu-satu masa.

“Selain operasi nyah kuman yang dilakukan  Jawatankuasa Bencana Daerah di sepanjang kaki lima premis perniagaan, mereka (peniaga) juga diminta membuat operasi sama di dalam premis masing-masing selepas operasi dijalankan setiap hari,” katanya.

Superi berkata, langkah itu penting bukan saja untuk memastikan kesihatan pelanggan malah membantu menjamin kesihatan pemilik perniagaan dan pekerja mereka.

Katanya, SOP itu antara beberapa usaha penambahbaikan dijalankan di daerah ini bagi memastikan urusan perniagaan berjalan lancar sekali gus mengurangkan risiko seperti operasi nyah kuman yang dibuat setiap malam melibatkan kawasan di sekitar bandar Limbang dan kawasan berhampiran termasuk di Tedungan dan Medamit.

Operasi nyah kuman jelasnya, melibatkan pelbagai agensi Majlis Daerah Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Limbang, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kesihatan Bahagian Limbang dan Pejabat RELA Bahagian Limbang.

Superi turut berpuas hati terhadap sambutan dan kerjasama peniaga di daerah Limbang yang mematuhi jam operasi perniagaan yang telah ditetapkan iaitu dari jam 7 pagi sehingga 7 malam bagi kedai yang telah dibenarkan beroperasi.

Katanya, hasil pemantauan juga menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap SOP yang dilaksanakan sama ada di peringkat daerah mahupun bahagian ini amat baik terutama penggunaan topeng muka, sanitasi tangan dan penjarakan sosial semasa membeli barangan di kedai atau di tamu yang dibuka khusus untuk memastikan keperluan harian pengguna dapat dipenuhi.

  • oleh
  • Advertisement