Anda di sini

Pematuhan PKP di Sarawak capai 96.4 peratus - Aidi

Advertisement
Pemandangan dari udara mendapati pusat bandar raya Kuching lengang susulan pelaksanaan PKP, baru-baru ini.
Pemandangan dari udara mendapati pusat bandar raya Kuching lengang susulan pelaksanaan PKP, baru-baru ini.

KUCHING: Kadar peratusan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat hari ke-8 fasa kedua di seluruh negeri mencapai 96.4 peratus.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata ia jelas apabila jumlah kenderaan dan orang ramai yang keluar tanpa alasan munasabah semakin berkurangan.

Justeru beliau mengharapkan agar masyarakat di negeri ini akan terus memberikan kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

"Tangkapan harian untuk tempoh 24 jam (8 pagi selasa-8 pagi hari ini) adalah seramai 25 orang iaitu berkurangan dari tempoh sama semalam yang merekodkan 35 tangkapan.

"Diharapkan agar masyarakat di negeri akan terus mematuhi PKP dan hanya keluar dengan alasan yang munasabah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aidi memberitahu sejak 18 Mac sehingga hari ini, seramai 512 orang ditangkap kerana ingkar PKP.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 383 orang didakwa dan kebanyakannya dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh dua minggu hingga tiga bulan dan didenda," jelasnya.

Sehingga semalam, seramai 4,140 anggota polis ditugaskan menjalankan PKP yang turut dibantu 681 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA (397), Angkatan Pertahanan Awam (63) dan Polis Sukarelawan (PVR) seramai 79 orang.

Selain sekatan jalan raya, anggota yang bertugas turut melakukan rondaan dan juga pemantauan melalui udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Pangkalan Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement