Anda di sini

Lelaki dikhuatiri lemas, bot karam selepas hantar bekalan makanan ke rumah panjang

Advertisement
Grafik hiasan

JULAU: Seorang petugas barisan hadapan yang menghantar bekalan makanan ke rumah panjang di Sg Nilau, Ulu Julau dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki karam berhampiran Nang Senyuruk di Ulu Ensiring di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Julau, DSP Ismuni Umar berkata, lelaki dikenal pasti sebagai Mazian Seliong, 35, bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang menyusuri sungai apabila kejadian sekitar 5 petang itu berlaku.

"Seorang dilaporkan hilang, manakala dua rakannya yang lain berjaya menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan penduduk rumah panjang.

Ismuni berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan, Rolland Duat Jubin yang turut serta dalam menghantar bekalan makanan ke rumah panjang di Ulu Ensiring bagaimanapun menaiki bot lain. 

"YB (Rolland) ada memaklumkan bahawa keadaan hujan ketika mereka sampai di rumah panjang ke-lapan untuk menghantar bekalan di Ulu Ensiring.

"Ketika itu hanya sebuah lagi penghantaran perlu dilakukan di Rumah Nyayang," jelasnya.

Menurutnya lagi, YB Rolland ada menasihatkan agar mereka bermalam di rumah panjang yang terakhir kerana cuaca semakin gelap dan air sungai pasang tinggi, namun mereka berkeras untuk kembali ke Rumah Mancha iaitu rumah panjang mereka sendiri di Ulu Ensiring.

Difahamkan, penghantaran menggunakan helikopter dibatalkan ke sembilan buah rumah panjang di kawasan Ulu Ensiring, memaksa penghantaran dilakukan menggunakan perahu panjang.
 

  • oleh
  • Advertisement