Anda di sini

Kumpulan anak muda berpakat ringankan beban penduduk

Advertisement
 Nik Abdul (kanan) bersama Tengku Nazmi (kiri) mengagihkan barangan keperluan dapur kepada Haszila Hasbullah (tengah) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pulau Melaka, Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama
SUMBANGAN: Nik Abdul (kanan) bersama Tengku Nazmi (kiri) mengagihkan barangan keperluan dapur kepada Haszila Hasbullah (tengah) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pulau Melaka, Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Sekumpulan anak muda di sebuah mukim di sini mengambil langkah bersedekah dengan cara mengagihkan barangan keperluan dapur di kampung-kampung semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak COVID-19.

Ketua Penyelaras Program Sumbangan Mukim Tok Ku Pulau Melaka, Nik Abdul Aziz Nik Din, 38, berkata inisiatif itu tercetus selepas kira-kira 10 anak muda di situ menginsafi nasib dan kesukaran penduduk.

“Kami adalah rakan lama sejak sekolah rendah iaitu dari Sekolah Kebangsaan Kota Jembal, kami berbincang dan mengambil kata sepakat membantu golongan memerlukan.

“Boleh dikatakan masih ramai penduduk sekitar Pulau Melaka ini bekerja sendiri seperti buruh, tukang rumah dan tukang sapu yang mendapat upah harian, sudah pasti pendapatan mereka terjejas, tambahan pula bagi mereka yang mempunyai anak ramai,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Lebih mengagumkan, muafakat itu mendapat sokongan orang ramai yang turut bersedekah dan menyerahkan tugas pengagihan kepada kumpulan anak muda berkenaan.

Menurut Nik Abdul Aziz, sebaik sahaja kumpulan itu menyerahkan barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, gandum, sardin dan biskut, ia menarik lebih ramai penyumbang lain yang turut serta untuk bersedekah.

“Sudah pasti kami memilih mereka yang benar-benar layak iaitu ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), orang sakit dan warga emas kerana golongan ini sukar untuk keluar rumah bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

“Setakat ini, sudah 130 rumah kami agihkan dan memandangkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) baru diperoleh, kami menghentikan dahulu pengagihan dan akan menyerahkannya semula nanti, bergantung kepada keperluan semasa.

“Semasa penyerahan, kami mematuhi prosedur dengan memakai semburan pembasmi kuman, penutup hidung dan mulut, dan sarung tangan, selain menjaga jarak satu meter di antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, tukang cuci di Panji, Haszila Hasbullah, 40, yang merupakan salah seorang penerima berkata, usaha itu meringankan beban mereka sekeluarga memandangkan pergerakan keluar rumah kini terbatas. — Bernama

Advertisement