Anda di sini

Kerajaan perlu bantu kontraktor kecil yang telah siap projek tetapi belum dibayar

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan sama ada negeri atau persekutuan digesa untuk turut bertanggungjawab membantu kontraktor kecil mendapatkan semula tuntutan mereka yang belum dibayar bagi kerja-kerja dilakukan.

Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk kerusi Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran berkata ia adalah tidak adil kepada kontraktor berkaitan tidak dibayar apabila mereka menyelesaikan projek seperti yang dijadualkan.

"Difahamkan terdapat 279 kontraktor kelas F dan Kelas E dengan jumlah tuntutan tidak dibayar dianggarkan RM7,605,707.43 bagi kerja-kerja mereka untuk pembaikan rumah di bawah Program Bantuan Rumah iaitu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Projek-projek tersebut dilaksanakan pada tahun 2018-2019. Projek ini diselaraskan oleh FELCRA Berhad di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Entri yang juga bekas Menteri Muda Kemudahan Awam berkata, FELCRA Berhad adalah organisasi yang bertanggungjawab untuk membayar tuntutan kontraktor untuk kerja-kerja yang selesai, disiapkan dan disahkan oleh Pegawai Daerah atau kakitangan teknikal di daerah masing-masing di negeri ini.

"Kontraktor telah membelanjakan wang mereka sendiri untuk modal bagi melaksanakan projek tersebut dan mereka adalah kontraktor kecil.

"Projek yang dianugerahkan kepada mereka berasaskan pemilihan daripada penduduk masing-masing," tegasnya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi.

Entri berkata, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi COVID-19 di bawah Bantuan PRIHATIN Nasional dan peruntukan tambahan di bawah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah meminggirkan semua kontraktor kecil berkenaan dan kerajaan terlepas pandang tentang mereka.

Katanya di bawah bantuan PRIHATIN berkenaan sesetengah atau kesemua mereka mungkin tidak layak mendapat bantuan kerana rekod mereka dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, mungkin menunjukkan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Kesengsaraan mereka bukan sahaja pada semasa situasi COVID-19 tetapi lebih awal apabila mereka tidak dibayar bagi projek yang memuaskan.

"Mereka membelanjakan wang sendiri untuk menyelesaikan projek, yang disahkan dengan memuaskan oleh agensi kerajaan diamanahkan namun mereka belum dibayar daripada agensi kerajaan," katanya.

Beliau memberitahu kontaktor kecil juga mengalami kekangan kewangan untuk mendapatkan dana bagi membayar kepada pembekal, pekerja dan hanya mendapat pendapatan sedikit daripada projek kecil di bawah kontraktor Kelas F atau E mereka.

"Sehubungan itu saya menggesa kepada kerajaan untuk benar-benar meneliti situasi yang memberi kesan kepada kontraktor kecil ini dan kerajaan mesti mencari cara bagi menyelesaikan tuntutan yang belum dibayar kepada mereka," katanya.

  • oleh
  • Advertisement