Anda di sini

Ingkar PKP untuk sabung ayam, lima ditahan di Mukah

Advertisement
Suspek-suspek dibawa ke IPD Mukah
Suspek-suspek dibawa ke IPD Mukah untuk membantu siasatan.

MUKAH: Lima lelaki yang asyik berjudi sabung ayam di Jalan Ulu Bayan, dekat sini, pada Selasa, ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Jimmy Panyau berkata, suspek-suspek ditahan oleh sepasukan anggotanya yang menjalankan rondaan Op COVID-19 di kawasan berkenaan sekitar jam 3.10 petang. 

Katanya, kehadiran mengejut polis di lokasi menyebabkan mereka bertempiaran lari dan cuba meloloskan diri daripada ditangkap.

"Lima individu berusia antara 53 hingga 71 tahun bagaimanapun tidak larat hendak melarikan diri telah berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Menurut Jimmy, hasil siasatan mendapati kelima-lima lelaki tersebut peka mengenai arahan PKP.

"Tidak tahan duduk di rumah antara alasan yang diberi mereka," katanya lagi. 

Beliau memberitahu, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut, bersama tiga ekor ayam jantan, seekor bangkai ayam, dan pelbagai peralatan lain.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Seksyen 11(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementar itu, Jimmy menasihatkan agar penduduk di daerah Mukah supaya kekal duduk di rumah sepanjang tempoh PKP dikuat kuasa.

"Tak perlu keluar jika tiada urusan penting dan jangan langgar perintah PKP ini. Barang siapa yang masih ingkar, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement