Anda di sini

Hina Agong: Pemandu e-hailing tidak mengaku salah 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di laman sosial Twitter, bulan  lepas.

Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.

Dia dituduh membuat lapan hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong antara jam 9.58 pagi dan 10.29 malam pada 23 Mac dan 25 Mac lepas.

Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada jam 7 malam, 28 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun, Sufazrin yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh memuat naik hantarain lain di laman sosial.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan semula kes. - Bernama 

Advertisement