Anda di sini

Doktor rugi RM22,500 terpedaya muslihat Macau Scam

Advertisement
 

SIBU: Seorang doktor pergigian kerugian RM22,500 apabila terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata mangsa, 64, menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dari TM Pahang.

"Suspek itu memaklumkan namanya (mangsa) telah digunakan oleh seseorang yang terlibat dalam perjudian haram. Selepas itu talian disambung kepada 'pegawai polis' yang memperkenalkan dirinya sebagai 'ASP Andrew'.

"ASP Andrew kemudian menasihatkan beliau untuk membuat laporan polis dalam talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pengadu juga memberitahu nombor kad pengenalan dan butiran banknya kepada ASP Andrew kononnya untuk siasatan lanjut.

"ASP Andrew memberitahu terdapat sebuah akaun bank di Kuantan, Pahang dikatakan miliknya," katanya.

Talian itu sekali lagi disambungkan kepada orang lain. Kali ini kepada 'ACP Normilla' yang meminta pengadu untuk mendedahkan nombor TAC (kod pengesahan transaksi) daripada tiga akaun bank pengadu.

Tidak lama kemudian, doktor itu terkejut apabila RM22,500 dipindahkan ke nombor akaun milik orang lain.

Terasa tertipu pengadu tampil membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
 

  • oleh
  • Advertisement