Anda di sini

Bekalan makanan,barang keperluan dijamin mencukupi

Advertisement
 Pegawai KPDNHEP ketika memeriksa bekalan di sebuah gudang pemborong utama di daerah Limbang semalam.
MENCUKUPI: Pegawai KPDNHEP ketika memeriksa bekalan di sebuah gudang pemborong utama di daerah Limbang semalam.

LIMBANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Limbang mengulangi jaminan bahawa bekalan makanan dan barang keperluan termasuk di luar bandar di sini mencukupi meskipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Bahagian Limbang Pulnama Tarah berkata, pihaknya mengadakan pemantauan secara kerap setiap hari berhubung kedudukan bekalan terkini di daerah Limbang dan Lawas.

“Kakitangan kita memantau setiap hari terhadap barang keperluan khususnya gula, tepung, minyak masak, beras, barang basah dan kering serta barang keperluan lain.

“Pemantauan juga dilakukan terhadap penghantaran di luar bandar khususnya di pusat jualan yang dilantik pihak kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pulnama juga mahu para pengguna berbelanja mengikut keperluan dan mengamalkan penjarakan sosial ketika membeli-belah.

“Para peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah, membuat pembelian bersyarat, menyorok barang kawalan atau mana-mana kesalahan dalam undang-undang yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Pihak KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Menurutnya, peniaga dengan sengaja menaikkan harga barang tanpa alasan munasabah dengan niat membuat keuntungan berlebihan, kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan jika sabit kesalahan, individu berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Begitu juga pelanggaran terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 mereka boleh didenda sehingga RM1, 000,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan pertama dan RM3,000,000 atau penjara tidak lebih lima tahun bagi kesalahan kedua,” katanya.

Jelasnya, sebarang pertanyaan mengenai kenaikan harga barang, pembelian bersyarat, menyorok barang kawalan atau aktiviti penyeludupan barang kawalan di bahagian ini boleh menyalurkan maklumat ke pejabat KPDNHEP Limbang di talian 085-217414 dan KPDNHEP Lawas di talian 085-283650 selain daripada saluran Portal Aduan KPDNHEP https://eaduan.kpdnhep.gov.my.

Katanya, Bilik Gerakan KPDNHEP Limbang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang sepanjang tempoh PKP ini.

  • oleh
  • Advertisement