Anda di sini

Awang Tengah terus kuarantin diri biarpun disahkan negatif COVID-19

Advertisement
 

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) disahkan negatif COVID-19 setelah menjalani ujian, namun akan terus mengasingkan diri di rumah sehingga tamat arahan kuarantin iaitu pada 10 April.

Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai media Awang Tengah, Saiful Bahari yang memberitahu, keputusan ujian Awang Tengah disahkan negatif pada 7 April.

"Meskipun didapati negatif, beliau akan terus mengasingkan diri sehingga 10 April, dan bekerja dari rumah.

"Beliau masih mempengerusikan Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Sarawak dari rumah, menggunakan teknologi terkini untuk berkomunikasi dengan orang lain dan menyelaraskan perkara yang berkaitan dengan pengagihan bekalan makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya hari ini.

Kesemua mereka yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa kecil rangkaian bekalan makanan di Wisma Bapa Malaysia pada 27 Mac lalu diarahkan untuk kuarantin diri.

Arahan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri kerana seorang yang menghadiri mesyuarat itu didapati positif COVID-19.

Selain Awang Tengah, ahli jawatankuasa lain yang turut menghadiri mesyuarat itu termasuk Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Dr Sabariah Putit.

Fatimah menerusi WhatsApp untuk kumpulan media semalam, mengumumkan beliau negatif COVID-19.

Menurutnya, beliau menerima berita mengenai hasil ujian tersebut daripada doktor di Hospital Umum Sarawak ketika sedang berada dalam mesyuarat telesidang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
 

Advertisement