Anda di sini

Arahan pematuhan kerja di tapak bina di bawah seliaan DBKU dilanjutkan sehingga 14 April ini

Advertisement
 

KUCHING: Semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) perlu dihentikan susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Pengarah DBKU, Dr Morshidi Ahmad berkata, bagaimanapun, kebenaran hanya diberikan kepada kontraktor untuk melaksanakan baki kerja yang sekiranya tidak disiapkan akan menyebabkan bahaya kepada pihak awam.

“Selaras dengan tempoh PKP yang dilanjutkan Perdana Menteri di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Akta Polis 1967, maka 
DBKU melanjutkan arahan pematuhan kerja di tapak bina di bawah penyeliaanya mulai 1 hingga 14 April ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Bagi kerja kecemasan penyelenggaraan katanya, boleh diteruskan untuk memastikan keselamatan pihak awam sentiasa terjaga.

Namun, katanya, kontraktor diingatkan untuk memaklumkan Pegawai Bertanggungjawab DBKU sekiranya kerja kecemasan itu dilakukan.

Manakala, katanya, pengurusan trafik dan pelaksanaan aspek keselamatan di tapak projek diteruskan dan akan sentiasa dipantau serta diselenggara supaya tidak mengancam keselamatan pihak awam.

“Antara arahan lain yang perlu dipatuhi di tapak bina di bawah penyeliaan DBKU ialah kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti yang kritikal seperti peralatan mekanikal dan elektrikal yang dijadualkan perlu diteruskan.

“Bagi kerja penyelenggaraan seperti pokok, rumput, parit, jalan dan sebagainya pula dihentikan dan akan dilaksana jika ada keperluan kritikal,” ujar beliau.

Sila pastikan pencegahan yang secukupnya dipatuhi dan dilaksanakan bagi memastikan pekerja tuan/ puan terjaga dan arahan-arahan rasmi lain yang berkaitan dengan wabak COVID-19 diguna pakai, tambah beliau.
 

Advertisement