Anda di sini

51 kawasan awam di Sarawak telah dan akan melakukan operasi nyah cemar sehingga 14 April

Advertisement
 

KUCHING: Sebanyak 51 kawasan di seluruh Sarawak telah dan akan dilakukan operasi nyah cemar bagi mengekang penularan wabak COVID-19 terutama tempat awam.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, operasi oleh pihak penguatkuasa daripada beberapa agensi itu telah dimulakan sejak 30 Mac hingga 14 April 2020.

Antara 51 kawasan yang telah dan akan dilakukan operasi berkenaan ialah di Kuching yang melibatkan 22 kawasan, di Miri (8), Samarahan (7), Sibu (4), Sarikei (4), Limbang (3), Betong (2) dan Sri Aman (1).

"Bagi operasi nyah cemar di tempat awam, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan operasi tersebut di kawasan Zon Merah dan Zon Jingga.

"Saya juga dimaklumkan operasi nyah cemar ini akan dijalankan dengan rapi di Samarahan yang kini juga Zon Merah, kerana kita mendapati di Samarahan terdapat kluster dikenalpasti disyaki tempat dihadiri mereka positif COVID-19," katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Malahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak sebelum ini kata beliau telah menguar-uarkan pemakluman kepada mereka yang menghadiri beberapa acara terlibat dengan kluster di Samarahan untuk tampil membuat saringan.

"Sejak semalam, memang ramai yang tampil membuat saringan dan dalam mesyuarat jawatankuasa kita turut membincangkan untuk menambah kit ujian pengesanan di Samarahan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai operasi nyah cemar, Abdul Karim berkata ia melibatkan seramai 1,598 orang terlibat dalam operasi tersebut.

Ia katanya termasuk petugas dari 26 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu seramai 681 orang sementara dari JBPM seramai 603 orang anggota, Angkatan Pertahanam Awam (107), RELA (83) Kementerian Kesihatan Malaysia (69), polis (49) dan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (6).

"Semua agensi-agensi yang terlibat dengan operasi PKP terus melaksanakan kawalan dan pemantauan di negeri Sarawak serta melakukan operasi nyah cemar di semua kawasan Zon Merah dan Jingga bagi mengekang penyebaran COVID-19," katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini, beliau berkata kadar pematuhan ialah 96.5 peratus.

"Semalam (7 April),  polis telah menangkap 25 orang di Sarawak kerana melanggar PKP dan 71 orang telah dituduh di Mahkamah. 

"Dari jumlah tersebut, 57 orang telah mengaku salah, manakala seramai 16 orang telah dipenjara dan 35 orang telah didenda," katanya.

  • oleh
  • Advertisement