Anda di sini

306 kes COVID-19 di Sarawak termasuk 18 kes baru hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak merekodkan 18 kes baharu positif COVID-19 hari ini dan menjadikan jumlah kes di Sarawak 306 sejak kes pertama pada 13 Mac. 

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata daripada jumlah itu, 14 orang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), tiga dirawat di Hospital Sibu dan satu kes dirawat di Hospital Miri.

"Sejumlah 67 kes baharu orang yang disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,864 kes," katanya pada sidang media bagi mewakili pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, 1,503 kes adalah negatif dan 55 kes PUI masih menunggu keputusan makmal, jelasnya lagi.

Tambah Abdul Karim, statistik kes PUI baharu mengikut daerah menyaksikan Kuching merekodkan 38 kes PUI baharu diikuti Samarahan 14 kes.

Manakala katanya di Miri, lima kes PUI baharu direkodkan, Betong (3), Bintulu (2), Bau, Saratok, Sarikei, Sibu dan Marudi masing-masing merekodkan satu kes.

Sementara itu dua kawasan di negeri ini turut dikenalpasti sebagai Zon Merah iaitu Kuching yang mencatatkan keseluruhan 188 kes positif dan Samarahan selepas mencatatkan 50 kes positif COVID-19.

Berhubung penempatan semua rakyat Sarawak dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuah di Pusat Kuarantin, Abdul Karim berkata setakat hari ini, terdapat penambahan seramai 33 orang rakyat Sarawak tiba dari luar.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 318 orang yang ditempatkan di Pusat Kuarantin sebagai individu di bawah pemerhatian (PUS).

Daripada itu, 86 orang ditempatkan di pusat kuarantin di Hotel Hock Lee, di Rajah Court Dormani (87), Miri Mega (89), Somerset (34), Ostay Inn (9), Limbang Purnama (13), katanya.

  • oleh
  • Advertisement