Anda di sini

Willian dijangka akan meninggalkan Stamford Bridge

Advertisement
 Willian (dua kanan) bersama rakan sepasukan meraikan gol jaringan pemain tengah Chelsea, Eden Hazard pada perlawanan pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge, London dalam gambar fail bertarikh 21 Februari 2016. — Gambar AFP
DILEMA: Willian (dua kanan) bersama rakan sepasukan meraikan gol jaringan pemain tengah Chelsea, Eden Hazard pada perlawanan pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge, London dalam gambar fail bertarikh 21 Februari 2016. — Gambar AFP

LONDON, England: Pemain tengah Chelsea, Willian, mendedahkan beliau dijangka akan meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas ini dengan beberapa kelab besar di Eropah dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Kontrak semasa pemain antarabangsa Brazil itu tamat pada akhir musim ini dengan dua bekas pengurus Chelsea – Maurizio Sarri yang kini di Juventus dan Jose Mourinho di Tottenham Hotspur, difahamkan berminat.

Ketika Willian berkata beliau mahu terus kekal di Stamford Bridge, tiada persetujuan dicapai tentang jangka masa kontrak yang menyebabkan pemain berusia 31 tahun itu memulakan perbincangan dengan kelab lain.

“Saya telah membina sesuatu yang hebat di Chelsea,” kata Willian.

“Saya sangat tertarik dengan penyokong kelab dan mereka yang bekerja di kelab dan saya merasakan seperti sudah menyesuaikan diri sepenuhnya.

“Semua orang tahu kontrak saya akan berakhir dalam beberapa bulan dan ia kelihatan sangat sukar untuk mendapat kontrak lanjutan. Saya fikir ia tidak akan berlaku kerana Chelsea menawarkan saya kontrak dua tahun, saya mengharapkan lanjutan tiga tahun.”

“Tiada lagi sebarang rundingan. Chelsea berkata tiga tahun adalah mustahil, jadi ketika ini, ia (lanjutan kontrak tidak akan berlaku tetapi tiada apa yang mustahil.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita mungkin mencapai satu persetujuan mengejut tetapi apa yang boleh saya katakan hari ini ialah kontrak saya akan tamat dan saya bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab lain.”

Willian juga dikaitkan dengan kepulangan ke Brazil tetapi pemain kelahiran Sao Paulo itu menegaskan beliau mahu terus kekal di Eropah.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan jika beliau kembali ke tanah airnya, kelab pertama beliau, Corinthians, pasti kelab yang beliau mahu sertai.

“Ketika ini, saya tidak terfikir untuk kembali ke Brazil dan sasaran saya ialah untuk terus kekal di Eropah,” kata Willian.

“Saya fikir saya masih ada nilai dalam pasaran perpindahan ketika ini dan terus bermain di peringkat tertinggi untuk beberapa tahun lagi. Sasaran saya ialah untuk terus kekal di Eropah.

“Jika saya mahu kembali ke Brazil, Corinthians pastinya kelab hebat untuk menamatkan karier saya.

“Di sana saya bermula dan saya masih mempunyai kenangan manis. Saya seorang profesional dan tidak menolak mana-mana kelab tetapi kerana saya memiliki ikatan istimewa dengan Corinthians, mereka adalah pilihan utama saya.” — AFP

Advertisement