Anda di sini

Warga Malaysia di Singapura diminta kekal di sana untuk tempoh dua minggu

Advertisement
Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama
Dr Noor Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Warga Malaysia yang bekerja di Singapura sebolehnya diminta kekal di Singapura untuk tempoh dua minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya sedang berbincang dengan pihak di Singapura sama ada majikan di negara itu dapat kekalkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan untuk tempoh dua minggu lagi. 

“Mereka yang hendak kembali akan disaring dan apabila kami (Kementerian Kesihatan Malaysia) menjalankan saringan, kami akan ambil tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakyat Malaysia yang dilaporkan berjalan kaki pulang dari Tambak Johor sejak 2 April hingga semalam. 

Bernama difahamkan seramai 12,000 warga Malaysia telah pulang dari Singapura sejak 2 April hingga semalam.

Ini ekoran langkah Singapura memperketatkan langkah-langkah bagi menghalang penularan wabak COVID-19 di republik itu bermula hari ini hingga 4 Mei. 

Dalam tempoh itu, kebanyakan tempat kerja akan ditutup kecuali perkhidmatan penting dan sektor ekonomi utama. 

Ditanya mengenai prosedur membawa pulang mayat jika ada rakyat Malaysia yang positif COVID-19 meninggal dunia di luar negara, Dr Noor Hisham berkata ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kes kematian COVID-19 yang melibatkan warga Malaysia di luar negara. - Bernama

Advertisement