Anda di sini

UniSZA sedia khidmat nasihat kesihatan dalam talian secara percuma 

Advertisement
Ketua Projek TanyaDoktor.com yang juga merupakan Pakar Perubatan kecemasan, Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Azizul Fadzli Wan Jusoh @ Ab Rahim (kanan) bersama Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan, UniSZA Dr Rosliza Yahaya menunjukkan laman web www.tanyadoktor.com yang boleh diakses pengguna ketika ditemui pemberita di UniSZA hari ini. - Gambar Bernama
Ketua Projek TanyaDoktor.com yang juga merupakan Pakar Perubatan kecemasan, Fakulti Perubatan UniSZA Dr Azizul Fadzli Wan Jusoh @ Ab Rahim (kanan) bersama Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan, UniSZA Dr Rosliza Yahaya menunjukkan laman web www.tanyadoktor.com yang boleh diakses pengguna ketika ditemui pemberita di UniSZA hari ini. - Gambar Bernama

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama yang menyediakan perkhidmatan nasihat kesihatan secara percuma kepada masyarakat bagi kes-kes bukan kecemasan melalui laman web www.tanyadoktor.com.

Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata ia adalah satu sistem rundingan kesihatan dalam talian yang membolehkan masyarakat mendapat nasihat-nasihat kesihatan secara percuma daripada 40 doktor pakar perubatan UniSZA yang bertauliah dan berpengalaman.

Beliau berkata buat permulaan sistem itu dibuka kepada masyarakat sekitar Kuala Nerus sahaja dan akan diperluaskan secara berperingkat.

"Ini adalah sebahagian daripada sumbangan UniSZA kepada masyarakat agar dapat mengurangkan beban petugas di fasiliti kesihatan supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada pesakit yang lebih memerlukan.

"Sistem ini secara tidak langsung akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyat terutama pada waktu penularan wabak COVID-19 yang masih meruncing ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hassan Basri berkata sistem itu dibangunkan dengan kerjasama penyelidik Fakulti Perubatan dan Fakulti Informatik & Komputeran UniSZA sejak tujuh hari lepas dan dilancarkan secara rasmi hari ini.

"Waktu operasi bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang, yang mana pakar perubatan akan berkomunikasi dengan pesakit menggunakan aplikasi WhatsApp dan pesakit boleh menghantar gambar atau video sekiranya diperlukan untuk penilaian kesihatan yang lebih tepat,” katanya.

Menurutnya pesakit perlu membuat pendaftaran di laman web itu dan menunggu giliran konsultasi bersama pakar perubatan melalui e-tiket yang diberikan serta diberi cadangan ubat yang sesuai untuk dibeli di farmasi.

"Kewujudan sistem ini adalah susulan kejayaan UniSZA dalam membangunkan Sistem Penilaian Risiko COVID-19 bagi Institusi Pengajian Tinggi (CHASE) yang boleh mengenal pasti mereka yang mempunyai risiko gejala jangkitan COVID-19.

"CHASE adalah satu sistem penilaian menggunakan teknologi IR4.0 bagi mengesan dan mengurus risiko jangkitan COVID-19 untuk lebih 14,000 pelajar dan kakitangan UniSZA agar apabila kampus dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak, tiada individu yang mempunyai simptom itu dibenarkan berada di UniSZA," katanya. - Bernama 

Advertisement