Anda di sini

Sembilan individu termasuk remaja mengaku salah ingkar PKP

Advertisement
 

TAWAU: Sembilan individu termasuk dua remaja bawah umur dijatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, semalam, kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman berkenaan selepas semua tertuduh berumur antara 18 hingga 43 tahun itu mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah secara serentak.

Kesemua tertuduh yang berasal dari Tawau dan Kunak didakwa berkumpul di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Harmon, Kampung Tass, di sini kira-kira jam 8.12 malam pada Sabtu lalu.

Fendi Sandana,18, Kamaruddin Yusuf,19, Mohd Usman Jamal, 23, Asri Basri, 26, Amir Kahar Diari, 29, Nuramira Sikin Romel, 21, Nor Azlin Erdawati Surtoyol, 20, dan dua lagi individu bawah umur didapati bersalah melanggar arahan PKP.

Berdasarkan fakta kes, kesemua mereka telah melakukan aktiviti sosial semasa dalam tempoh PKP dengan berhibur secara keterlaluan sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman penduduk sekeliling.

 Semua tertuduh diiring keluar selepas prosiding di Mahkamah Majistret Tawau.
INGKAR PKP: Semua tertuduh diiring keluar selepas prosiding di Mahkamah Majistret Tawau.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan kesemua lima tertuduh lelaki menjalani hukuman empat bulan penjara manakala dua wanita menjalani hukuman dua bulan penjara.

Bagi kes remaja bawah umur, mahkamah menetapkan sebutan semula kes masing-masing pada 15 Mei depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, dimahkamah sama, dua beradik warga asing dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan empat hari penjara, jika gagal bayar denda penjara dua bulan, selepas masing-masing mengaku bersalah ingkar PKP pada pada Sabtu.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohammed Ali Imran dan Pegawai Pendakwa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau Asisten Superintendan Dayang Nor Azarinawaty Ag Kachee, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement