Anda di sini

Program pencegahan banjir terus dilaksana

Advertisement
DARELL
DARELL

KOTA KINABALU: Program pencegahan banjir di kawasan Penampang akan diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking berkata, satu mesyuarat jawatankuasa tindakan bencana banjir telah diadakan pada 6 April lalu di Majlis Daerah Penampang.

Katanya, mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Henry Idol dan dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Tang Yang Ming, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang Pritchard Gumbaris dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan PDRM Penampang.

"Mesyuarat ialah berkenaan dengan langkah-langkah pencegahan dan pengurangan impak banjir yang dijangkakan akan berlaku pada bulan Mei dan Jun tahun ini akibat daripada ramalan hujan lebat oleh Jabatan Meteorologi Sabah.

"Kerja pembersihan parit-parit di kawasan kritikal seperti Kibabaig, Donggongon dan beberapa kawasan lagi boleh dilakukan, namun jabatan-jabatan terlibat haruslah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pengarah jabatan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Darell berkata, tahun lalu pihaknya sudah mengambil pendekatan membuat pembersihan di kawasan-kawasan kritikal dua bulan lebih awal dalam program pencegahan banjir.

"Usaha itu melibatkan Pejabat Daerah, Majlis Daerah, JPS, JKR, MPKK dan UPPM dan ini telah berjaya mengurangkan impak banjir di kebanyakan kawasan di Penampang," katanya.

Beliau berkata, walaupun dalam keadaan PKP kerja-kerja yang akan dilakukan oleh jabatan-jabatan tertentu agak terhad tetapi pembersihan parit harus juga dilakukan mengikut syarat yang dibenarkan.

Katanya, ia penting agar Penampang tidak mengalami banjir teruk seperti tahun-tahun dahulu pada Mei 2018.

  • oleh
  • Advertisement