Anda di sini

Persekutuan persatuan Cina sambut baik pakej rangsangan tambahan 

Advertisement
Wee (dua kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Bomba yang diwakili Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii (kanan).
Wee (dua kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Bomba yang diwakili Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak Tiong Ling Hii (kanan).

KUCHING: Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presidennya Dato Richard Wee berkata, pengumuman berkenaan adalah lebih spesifik membantu komuniti perniagaan termasuk di Sarawak.

"Pada pengumuman kali ini ia lebih spesifik kepada kumpulan PKS dan saya merasakan komuniti perniagaan khasnya amat mengalukan pengumuman ini.

"Mungkin ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan dari segi penyampaian dan saya percaya ia mampu dicapai tetapi secara keseluruhan pengumuman diterima dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba dan Penyelamat Padungan (BBP) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jangkaan pakej bantuan yang sama daripada kerajaan Sarawak, Wee berkata, beliau percaya kerajaan negeri turut mengambil berat mengenai perkara itu.

Katanya, ia dapat dilihat semasa mesyuarat diadakan di Wisma Bapa Malaysia sebelum ini, yang menggambarkan kerajaan negeri turut mengambil maklum masalah dihadapi PKS.

"Sebenarnya isu yang dihadapi oleh PKS biasanya berkaitan dengan persekutuan seperti hasil cukai, PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan sebagainya dan saya merasakan keperluan bantuan juga dari persekutuan.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan turut mewujudkan bantuan kepada PKS," tegasnya.

Wee berkata selepas krisis wabak COVID-19 reda satu hari nanti, ia tidak hanya memberi kesan kepada komuniti perniagaan di Sarawak tetapi seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau percaya kesan berkenaan akan pulih cuma tidak mengetahui jangka masa berkenaan.

Berita berkaitan: PM umum pakej tambahan khusus PKS bernilai RM10 bilion

  • oleh
  • Advertisement