Anda di sini

Penduduk tiba dari KK, Labuan diarah kuarantin

Advertisement
CHARLES SIAW
CHARLES SIAW

SIBU: Seramai lima penduduk tempatan diarah menjalani kuarantin selama 14 hari di Sibu Diocesan Pastoral Centre, di Jalan Kemuyang di sini.

Residen Bahagian Sibu Charles Siaw berkata mereka terlibat tiba dari Kota Kinabalu (KK) dan Labuan melalui jalan darat Miri-Sibu.

“Seramai empat orang dihantar ke Pusat Kuarantin Sibu Diocesan Pastoral Centre pada Ahad lalu manakala seorang lagi dibawa ke situ hari ini (semalam),” katanya di sini semalam.

Sibu Diocesan Pastoral Centre merupakan pusat kuarantin COVID-19 kedua dibuka di sini selepas Kem Belia Kemuyang.

Pusat kuarantin tersebut beroperasi sejak minggu lalu dan boleh menampung 60 orang.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua pelancong masuk ke Sarawak sama ada melalui darat, udara atau laut perlu menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin bermula 5 April.

Beliau berkata, ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan persekutuan mewajibkan pelancong masuk ke Kuala Lumpur menjalani kuarantin 14 hari.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menasihati peniaga tidak mengambil kesempatan berniaga seperti hari biasa selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan membenarkan premis perniagaan dibuka dua kali seminggu.

Pada Ahad lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kedai ‘hardware’, kedai input pertanian (baja, racun, makanan binatang) serta kedai menjual alat tukar ganti (jentera pertanian dan industri) dibenarkan beroperasi secara berkala pada Selasa dan Khamis dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

“Saya berharap pemilik permis kekal patuh terhadap arahan dikeluarkan kerajaan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya.

  • oleh
  • Advertisement